Bersediakah kita hadapi El Nino?

Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah dipercayai akibat cuaca panas melampau. - Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah dipercayai akibat cuaca panas melampau. - Foto Bernama
A
A
A

FENOMENA El-Nino bukanlah perkara asing bagi rakyat Malaysia. Kesannya yang pernah dialami dan dirasai sebelum ini tentu sukar untuk dilupakan.

Mengikut rekod, sehingga tahun 2015, El Nino pernah melanda negara ini sebanyak 12 kali iaitu sejak tahun 1951 sehingga 1952 dan kejadian paling teruk pada 1997 hingga 1998 apabila suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan oleh Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

El Nino merupakan fenomena alam berskala global dan tidak ada teknologi yang boleh menghalangnya daripada berlaku.

Fenomena itu akan menyebabkan berkurangnya kuantiti hujan yang mengakibatkan cuaca panas, bekalan air berkurangan, paras air sungai merosot dan empangan menjadi kering. Jika ia berterusan dalam jangka masa panjang, pengeluaran padi negara juga boleh terjejas.

Sudah tentulah tindakan mesti dilakukan ketika ini adalah memastikan segala persediaan bagi menghadapi El Nino telah disiapsiagakan. Pengalaman lampau yang tragis perlulah dielakkan ataupun sekurang-kurangnya diminimumkan.

Perkara perlu diberikan perhatian adalah berkaitan bekalan air. Ia harus diberikan keutamaan kerana ia sumber penting kepada setiap kehidupan sama ada manusia, haiwan, mahu pun tumbuhan.

Pantau semua aras air sungai dan empangan, aktifkan pelan tindak balas kecemasan, terokai sumber air alternatif, galakkan orang ramai dan industri untuk menjimatkan penggunaan air, melakukan penghasilan awan dan menyediakan sokongan logistik.

Sementara itu, kempen penerangan dan kesedaran perlu digerakkan. Rakyat Malaysia mesti didedahkan dengan kesan yang mungkin boleh berlaku apabila El Nino melanda.

Sejarah pahit yang pernah dilalui sebelum ini dihebahkan supaya mereka boleh bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama krisis air.

Biasanya jika berdepan masalah sebegini, langkah seperti catuan air di sesetengah kawasan mungkin terpaksa dibuat.

Krisis bekalan air yang serius telah dirasai ketika El Nino melanda pada 1997 hingga 1998. Catuan air telah dibuat dan penduduk di Lembah Klang cukup terkesan apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berdepan dengan catuan air selama tempoh enam bulan.

Dilaporkan pada 1998, sebanyak 4.2 juta pengguna di Lembah Klang terpaksa berkongsi 2,553 juta liter sehari.

Justeru, adalah penting bagi memastikan segala usaha dan perancangan dapat dilaksanakan dengan tersusun serta teliti supaya kita semua dapat bersama-sama mengharungi kesan El Nino kelak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!