Tolonglah jangan jadi ‘pemandu pelancong’ di rumah orang!
TRADISI raya selama sebulan sudah menjadi trend di negara kita. Selagi Syawal belum berakhir, Aidilfitri akan terus diraikan.
Maka, dalam tempoh tersebut pasti banyak undangan rumah terbuka yang diterima. Jadual sentiasa padat terutama pada hujung minggu.
Dan tak dinafikan, ia adalah acara yang ditunggu-tunggu kerana berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan. Jika tak ada halangan, eloklah kita hadir untuk rapatkan ukhuwah dan silaturahim.
Namun, dalam kita memenuhi undangan, tolonglah jangan lupa adab sebagai tetamu. Akhlak dan tingkah laku haruslah dijaga.
Kisahnya di satu majlis rumah terbuka dan kebetulan pula tuan rumah baru berpindah kediaman. Memang ‘terpukau’ dan melopong mulut melihat keindahan ‘syurga idaman’ milik rakan yang biarlah Merak Jalanan gelar sebagai ‘A’.
Meriah betul majlis rumah terbuka ‘A’. Suasananya seperti majlis reunion kerana tetamu kebanyakannya rakan-rakan ketika di sekolah menengah dahulu.
Sedang leka menjamu selera dan berbual santai, tak semena-mena mulut Merak Jalanan sekali lagi melopong melihat seorang rakan bertindak seperti tourist guide bersama beberapa yang lain meneroka setiap inci rumah ‘A’ ikut suka hati sahaja.
Dari ruang tamu, kemudian ke dapur sehinggalah ke setiap bilik yang ada dijelajah sambil mulut mereka tak henti memberikan komen.
Itu belum lagi ditambah dengan gelagat anak-anak. Adatlah jika mereka ‘hiperaktif’ tetapi kita sebagai ibu bapa kenalah sentiasa beringat.
Jangan sampai ada barang yang pecah, minuman tumpah atau makanan terbazir begitu sahaja.
Merak Jalanan perhatikan ketika itu muka ‘A’ sudah kelat-kelat masam manis, mungkin serba salah nak tegur atau nak biarkan sahaja.
Ingat, walau macam mana rapat pun kita dengan tuan rumah, masih ada batas yang harus kita hormati.
Ia bukan tiket kepada kita nak ‘merayau-rayau’ di rumah orang tak tentu hala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!