Aidilfitri terakhir di balik tirai besi
KOTA BHARU - “Selamat hari raya anak-anak umi. Ini kali terakhir umi raya dalam penjara. Tahun depan umi nak balik raya dengan anak-anak.”
Itu pesanan sayu daripada seorang ibu tunggal yang sedang menjalani hukuman di sebalik tirai besi kerana kesalahan memiliki dadah pada 2020.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 37, mengakui jauh di lubuk hatinya berasa perit dengan hukuman yang dijalaninya kali ini dan amat merindui suasana berhari raya bersama anak-anak ketika dapat merasai nikmat di dunia bebas.
Menurutnya, pergaulan sosial tidak sihat dengan rakan lelaki yang lebih tua selepas berhenti persekolahan di tingkatan tiga menyebabkannya terjebak dengan kegiatan pusher dadah seawal usia remaja 14 tahun selepas mendirikan rumah tangga pada usia itu.
“Bekas suami tahu kegiatan ini dan saya pertama kali ditangkap pada 2014 serta dihukum penjara tiga bulan atas kesalahan memiliki dadah. Kali kedua, dikenakan 10 bulan penjara pada 2019.
“Kali ketiga, saya ditahan lagi kerana mengedar 1,000 pil kuda, namun bersyukur kerana pertuduhan dipinda kepada sesyen pemilikan dan dihukum penjara selama enam tahun selepas mengaku bersalah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Penjara Pengkalan Chepa, di sini baru-baru ini.
Siti yang berasal dari Kota Bharu itu memberitahu, kesenangan yang diperoleh hasil jualan dadah yang laris menggunakan modal atas angin itu terus mengheretnya alpa dan makin galak menjual bekalan larangan itu dalam kalangan penduduk sekampung walaupun sudah berpisah dengan suaminya tujuh tahun lalu.
“Nak kata terlalu kaya dengan jual dadah itu tidaklah sangat, tetapi duit senang nak dapat. Saya sendiri menghisap dadah tetapi sekarang sudah berhenti.
“Hasilnya dapat beli seutas rantai emas berharga RM1,300 untuk seorang anak perempuan, makan apa-apa sahaja dan berikan semua yang mereka minta. Lebih dari itu, nak menyimpan ke apa-apa, tak dapat pun,” katanya.
Dia yang menyertai Latihan Kemahiran membuat pastri dalam penjara itu kerap merindui anak-anaknya terutama ketika membuat biskut raya kerana mereka menggemari Almond London.
“Anak-anak kerap datang melawat. Mereka cakap, kalau saya buat lagi, mereka tak akan datang tengok saya dah.
“Saya menyesal dan takkan ulangi kesalahan ini lagi. Saya nak minta maaf dengan ayah, arwah ibu saya, adik-beradik, ipar duai dan bekas suami. Kepada anak-anak umi, maafkan umi,” luahnya sebak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!