PASRelief bangunkan kembali bangunan pejabat Kementerian Buruh Palestin
KUALA LUMPUR - Peperangan yang meletus pada dua tahun lalu telah menyebabkan banyak runtuhan rumah dan bangunan musnah sehingga ramai kehilangan tempat bekerja termasuklah Pejabat Kementerian Buruh.
Justeru itu, Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) sekali lagi membuktikan perjuangan Palestin adalah perjuangan yang tak bernoktah dan sokongan tak bermusim.
Menurut satu kenyataan daripada PASRelief, projek kerjasama dengan Kementerian Buruh, Palestin ini menyasarkan sumbangan bernilai RM1.1 juta bagi menyiapkan bangunan setinggi tiga tingkat dengan keluasan 270 meter persegi.
"Kami yakin bahawa bangunan ini akan menjadi tempat permulaan baru untuk bekerja dan harapan untuk anak muda dan rakyat Palestin.
"PASRelief menyeru dan mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu dalam menyiapkan sepenuhnya pembangunan Pejabat Kementerian Buruh yang masih dalam fasa pembinaan sekarang.
"Buat masa sekarang, fasa pembinaan telah berada di tingkat kedua. Tingkat pertama pula sudah bermula fasa pemasangan elektrik," kata kenyataan itu.
Sebanyak RM 250,000.00 masih diperlukan bagi merealisasikan hasrat dan harapan rakyat Palestin bagi masa depan yang lebih baik. Sehubungan itu, untuk maklumat lanjut dan sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui https://infaqpay.my/plus/tabung-bantuan-palestine-pasrelief.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!