Minat haiwan eksotik, cetus idea buka 'petting zoo' bergerak

Lebih 40 ekor haiwan eksotik yang dibawa Syazlin Hafisya ketika membuat pameran. - Foto Bernama
Lebih 40 ekor haiwan eksotik yang dibawa Syazlin Hafisya ketika membuat pameran. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Minat terhadap haiwan eksotik sejak kecil serta ingin berkongsi ilmu pengetahuan mengenainya mendorong seorang lepasan Diploma Teknologi Digital membuka zoo mini haiwan jinak atau 'petting zoo' bergerak.

Syazlin Hafisya Mohammad Hasni, 22, yang menetap di Kulim, Kedah berkata, mini zoo bergerak yang dibuka sejak 2016 itu, kini menjadi sumber pendapatan beliau.

Menariknya, lebih 40 ekor haiwan eksotik yang dibawa Syazlin Hafisya ketika membuat pameran antaranya ular sawa, iguana, tupai tanah Afrika, sugar glider, tikus Belanda, naga air dan kala jengking, semuanya merupakan koleksi peribadinya.

"Semua haiwan dibeli di pet shop dalam negara dengan harga sekitar RM100 hingga RM10,000 dan buat masa ini saya memang menumpukan sepenuh masa terhadap perniagaan mini zoo dan penjagaan haiwan.

"Harga tiket yang dikenakan hanyalah RM5 seorang dan tujuannya adalah untuk mengajar dan mendidik orang awam mengenai haiwan eksotik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Syazlin Hafisya, semua haiwan itu disimpan di dalam sangkar atau akuarium di dalam rumah yang dilengkapi sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Katanya, meskipun haiwan peliharaan beliau tidak pernah dicuri, namun ada yang mengalami kecederaan teruk akibat kecuaian pengunjung.

"Ada ular yang pernah cedera teruk selepas pengunjung tidak memegangnya dengan berhati-hati, menyebabkan ia terhempas ke lantai dan mengalami komplikasi tulang sehingga memerlukan kos rawatan sekitar RM2,000," katanya.

Syazlin Hafisya yang dikenali sebagai 'Kakak Raptor' di laman sosial berkata buat masa ini, beliau hanya mengadakan pameran sekiranya ada jemputan seperti acara konvokesyen, program sekolah atau karnival di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

"Saya tidak keluar dari kawasan utara kerana fikir mengenai risiko terhadap haiwan jika travel terlalu lama boleh menyebabkannya stres, sakit atau mati," katanya.

Bercerita lanjut, Syazlin Hafisya anak tunggal yang mempunyai minat serupa dengan ayahnya, Mohammad Hasni Hassan, 55, dan ibu, Salmiah Shaari, 48, berkata, perasaan cinta terhadap haiwan eksotik timbul sejak kecil selepas menonton dokumentari di televisyen.

Syazlin Hafisya berkata, cabaran utama dihadapi adalah keadaan cuaca panas di Malaysia kerana kebanyakan haiwan berasal dari luar negara sehingga beliau perlu mengawal suhu dan kelembapan bersesuaian mengikut lokaliti asal haiwan.

"Contohnya, Chinchillas, perlukan suhu di bawah 26 darjah Celcius, jadi saya letakkannya di dalam bilik dengan pendingin hawa manakala untuk sesumpah, saya perlu kawal kelembapan agar ia tidak mendapat penyakit seperti jangkitan salur pernafasan," katanya.

Syazlin Hafisya berkata, beliau mempunyai lesen serta permit bagi membela dan mempamer haiwan eksotik daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Kebanyakan haiwan eksotik memerlukan lesen dan proses untuk mendapatkannya sangat mudah, hanya dengan membawa resit pembelian dan mikrocip ke Perhilitan dan ia akan siap dalam lima minit sahaja.

"Saya ingin nasihatkan orang awam agar jangan mudah percaya dengan ura-ura yang mengatakan Jabatan Perhilitan sangat susah untuk berurusan sekiranya hendak membela haiwan mengikut undang-undang ditetapkan," katanya.

Pada masa sama, lulusan Politeknik Seberang Jaya, Pulau Pinang itu turut menasihatkan orang awam yang ingin membela dan memelihara haiwan eksotik agar mempelajari ilmu mengenainya.

"Rajin-rajinkan diri membuat penyelidikan dan belajar cara-cara membela haiwan tersebut sebelum membelinya kerana kekurangan ilmu boleh menyebabkan haiwan sakit dan mati," katanya yang merancang untuk membuka zoo mini statik, pada masa akan datang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!