Sharnaaz fail representasi gugur kes cederakan pengawal
KUALA LUMPUR - Pelakon, Sharnaaz Ahmad telah memfailkan representasi di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa lalu untuk menggugurkan pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan yang juga penghuni kondominium, Jun tahun lalu.
Ketika prosiding kes di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad berkata, representasi itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 2 Mei lalu.
"Terdapat beberapa dokumen dan perkara yang perlu diselesaikan kerana ada kemungkinan pengadu tidak akan meneruskan kes ini, namun kita belum mendapat kepastian," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan keputusan reprsentasi pada tarikh lain.
Atiqah kemudiannya menetapkan 10 Julai depan untuj keputusan representasi berkenaan.
Pada prosiding 6 Mac lalu, mahkamah menetapkan 5 Mei untuk status representasi pelakon, Sharnaaz Ahmad, 38, bagi menggugurkan pertuduhan berkenaan.
Pelakon drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.
Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Sharnaaz ketika ditemui selepas prosiding kes berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan kes sebaik mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!