Bajet paling besar RM82.5 juta untuk Teluk Intan
TELUK INTAN - Kerajaan Persekutuan akan membelanjakan RM82.5 juta untuk pelaksanaan lima projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur di sekitar Teluk Intan termasuk rancangan tebatan banjir (RTB) tahun ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, jumlah itu merupakan bajet paling besar pernah diluluskan untuk kawasan berkenaan.
Menurutnya, RM80 juta akan diperuntukkan bagi projek RTB melibatkan kawasan sepanjang 6 kilometer manakala RM2.5 juta lagi kerja menaik taraf Medan Selera Glutton Square, pusat penjaja di Jalan Maharani, Pasar Besar Teluk Intan dan Taman Rekreasi Riverfront.
"Empat projek naik taraf ini akan melibatkan 45 skop kerja dengan agensi pelaksanaan di bawah Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang dijangka siap akhir tahun ini.
"Kementerian akan memantau secara rapi untuk pastikan tidak berlaku sebarang ketirisan dengan setiap peruntukan yang dikeluarkan menepati sasaran projek," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Besar Teluk Intan pada Jumaat.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, projek RTB telah dijadualkan bermula tahun ini dengan proses tender dibuka pada April agar dapat disiapkan sepenuhnya mengikut sasaran menjelang 2026.
Katanya, projek di persisir Sungai Perak berkenaan penting dilaksanakan bagi menangani masalah banjir dan banjir kilat yang menjadi mimpi ngeri setiap penduduk saban tahun.
"Ini akan melibatkan kerja-kerja yang berat, sebab itu dijangka siap dalam tempoh lama, tetapi kita akan pastikan projek ini siap dalam tempoh penggal ini juga dan selepas itu boleh ucapkan selamat tinggal kepada banjir kilat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!