ADUN pernah jadi KM dua penggal tidak boleh dilantik semula
GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pernah memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal tidak boleh dilantik semula untuk memegang jawatan tersebut.
Ia termasuk ADUN Air Putih, Lim Guan Eng yang menjawat jawatan tersebut selama dua penggal iaitu sejak 2008 sehingga 2018.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, merujuk kepada peruntukan Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, ia jelas memperuntukkan bahawa Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan orang yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Ketua Menteri bagi dua penggal.
Kata beliau, pindaan Perlembagaan tersebut telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri pada 2018 dan berkuat kuasa bermula 1 Februari 2019."Cadangan untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara melalui Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang pada 11 Jun 2018.
"Malah, cadangan pindaan kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang ini juga telah dibincangkan di dalam beberapa siri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada Julai dan Ogos tahun sama.
"Akhirnya, Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dipinda bagi memperuntukkan kriteria tambahan berhubung dengan kelayakan seorang ADUN untuk dilantik sebagai Ketua Menteri," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar pada Jumaat.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Guan Eng yang juga Pengerusi DAP kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.
Laporan portal itu turut menyebut pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan diadakan Selasa lalu.
Tambah Kon Yeow, melalui pindaan itu, seseorang ADUN tidak boleh dilantik menjadi Ketua Menteri jika ahli berkenaan pernah memegang jawatan Ketua Menteri selama dua penggal.
"Oleh demikian, selaras dengan perkataan yang jelas dan terang seperti mana diperuntukkan di bawah Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan selaras dengan maklumat Hansard bertarikh 16 November 2018, kesimpulan yang boleh dibuat adalah bahawa mana-mana bekas Ketua Menteri selama dua penggal sebelum berkuatkuasa Perkara 7 Fasal 2(a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh dilantik semula sebagai Ketua Menteri," katanya.
Ditanya sama ada isu penyingkiran beliau sebagai Ketua Menteri itu sengaja dimainkan musuh politik, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berkata, perkara itu tidak dapat dipastikan sama ada benar atau sebaliknya.
"Saya tidak pasti pihak mana yang membangkitkan isu ini tetapi ada baiknya juga (ia dibangkitkan) kerana ia memberi kesempatan kepada kerajaan negeri untuk menjelaskan mengenai pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkaitan lantikan Ketua Menteri berkenaan.
“Sebelum ini, pihak yang cuba memainkan isu lantikan Ketua Menteri ini tidak begitu faham dengan isu ini, jadi dengan penerangan hari ini mungkin pihak yang cuba memainkan isu ini juga dapat menerima 'pendidikan politik’ yang sewajarnya,” katanya.
3 Mei lalu, seramai 10 ADUN DAP menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan untuk menyingkirkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pada PRN akan datang.
Kesemua mereka merupakan ADUN Pulau Pinang biasa yang tidak memegang sebarang jawatan kerajaan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sama ada sebagai Ketua Menteri, ahli EXCO atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.
Mereka diketuai Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih; Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Jason H'ng Mooi Lye (Jawi); Heng Lee Lee (Berapit); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam); Ong Ah Teong (Batu Lancang); Daniel Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota); M. Satees (Bagan Dalam); Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus).
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, 10 ADUN berkenaan menegaskan dan mengesahkan, mereka tidak pernah bercakap dengan portal berita yang menerbitkan artikel berkenaan desakan menukar Kon Yeow sebagai Ketua Menteri berkenaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!