Masalah gula di Kelantan hampir selesai - KPDN

Anggota KPDN memeriksa bekalan gula di kedai runcit sekitar negeri Kelantan.
Anggota KPDN memeriksa bekalan gula di kedai runcit sekitar negeri Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan sudah berjaya memulihkan bekalan gula sebanyak 98 peratus menerusi pengedaran bahan mentah itu kepada 280 premis di seluruh negeri ini bagi memulihkan semula bekalan bahan mentah itu di pasaran.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, agihan itu melibatkan pemborong, pasar raya dan peruncit di seluruh negeri.

"Menerusi Op Manis yang dijalankan oleh pihak kami, KPDN Kelantan mendapati bekalan sudah pulih.

"Kita turut mendapati tiada pembelian panik yang dilakukan oleh pengguna," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, sehingga Khamis sebanyak 17 aduan berhubung masalah kekurangan gula telah diterima dan daripada jumlah itu sebanyak sembilan kes melibatkan ketiadaan bekalan telah direkodkan.

"Selebihnya enggan menjual (dua kes), menyorok bekalan dan menjual gula pada harga mahal (tiga kes).

"Setakat ini hanya satu kes melibatkan gula di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!