Satu tandas kongsi 40 orang, masak atas lantai

Keadaan bilik yang menempatkan pekerja warga asing di Pusat Bandar Putra Point di Nilai.
Keadaan bilik yang menempatkan pekerja warga asing di Pusat Bandar Putra Point di Nilai.
A
A
A

NILAI - Bukan saja terpaksa memasak makanan di atas lantai yang keadaan biliknya kotor, malah perlu berkongsi dua tandas yang tidak sempurna lebih 30 orang.

Itu keadaan asrama pekerja warga asing yang menempatkan seramai 120 orang di Pusat Bandar Putra Point di sini, yang diserbu Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS) menerusi Ops Pindah 2 pada Jumaat.

Malah Sinar Harian juga mendapati, bilik didiami warga Bangladesh itu juga tidak disediakan sebarang almari melainkan katil dengan tilam nipis serta hanya dilengkapi beberapa buah kipas.

Lebih perit lagi mereka mendakwa sudah lebih sebulan tidak dibayar gaji oleh majikan.

Pekerja asing Bangladesh menunggu untuk dipindahkan.
Pekerja asing Bangladesh menunggu untuk dipindahkan.

Md Riazul Islam, 40, berkata, dia datang ke Malaysia hujung tahun lalu dan dijanjikan kerja di bahagian pembersihan dengan gaji RM1,500.

"Saya datang sini kerana di Bangladesh susah mahu dapat kerja. Lagi pun saya ada isteri dan anak-anak perlu ditanggung.

"Mula-mula ada kerja. Tapi sekarang saya hanya duduk di asrama dan gaji sebelum ini pun ada tak dibayar," katanya kepada Sinar Harian.

Roslan (kanan) dan Chew Seh Yong bertanya sesuatu kepada pekerja asing yang diselamatkan
Roslan (kanan) dan Chew Seh Yong bertanya sesuatu kepada pekerja asing yang diselamatkan



Sementara itu Pengarah JTK Negeri Sembilan, Roslan Bahari berkata, kesemua pekerja warga asing yang berusia antara 20 hingga 40-an itu akan dipindahkan ke lokasi penginapan berhampiran yang lebih sesuai.

Ujarnya, kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 24D Akta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi satu rahun atau kedua-duanya.

"Kalau tengok keadaan tempat tinggal pekerja ini sangat daif dengan mereka yang ramai terpaksa berkongsi satu tandas di setiap bilik yang ada menempatkan lebih 40 orang.

"Bagi saya ini bukan tempat manusia tinggal. Malah kita difahamkan yang mereka juga tak dibayar gaji.

"Majikan telah diarah membayar kesemua gaji tertinggal dari bulan Mac dan April," katanya.

Sementara itu, Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam negeri, Chew Seh Yong yang turut hadir berkata, dari tempoh 2020 hingga bulan ini, sebanyak 861 majikan telah memohon perakuan penginapan dengan JTKNS.

"Sebanyak 2,141 unit kediaman telah diluluskan dan seramai 23,772 pekerja telah ditempatkan.

"Selain itu penyedia penginapan berpusat(CLQ) yang telah memperolehi sijil perakuan penginapan sebanyak 24 buah dengan bilangan kapasiti pekerja 6,634 orang," katanya.

Ujarnya, sehingga kini masih terdapat 3,707 kekosongan di CLQ yang boleh menempatkan pekerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!