Saman Tun M: PM serah kepada peguam
HULU LANGAT - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menyerahkan kepada peguamnya dengan Gobind Singh Deo sebagai peguam utama untuk mengendalikan saman fitnah dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Biar peguam menjalankan tugas mereka, peguam saya ada," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Perdana Menteri memaklumkan perkara itu ketika ditemui di Medan Selera 7, Jalan Persiaran Majlis, Banting sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-Solihin di Kancong Darat di sini.
Pada Jumaat, Dr Mahathir mengemukakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan perdana menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Pelaksanaan Sebuah Idealisme' pada Mac lalu.
Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapan beliau pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Tuntutan saman berkenaan difailkan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique pada 3 Mac lalu dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Menurut Dr Mahathir dalam pernyataan tuntutannya, keseluruhan program itu dipaparkan secara siaran langsung antara lainnya melalui sidang 'Facebook live' akaun Facebook milik Anwar sendiri dan di saluran YouTube Parti Keadilan Rakyat.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, ia membabitkan beberapa kenyataan Anwar yang berbaur fitnah dan tohmahan yang berniat jahat bertujuan untuk menjatuhkan dan merosakkan reputasi serta imejnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!