[VIDEO] Tertembak rakan: Lelaki dipenjara 12 bulan, denda RM2,000

Tertuduh (dua dari kiri) di jatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Bahau pada Jumaat.
Tertuduh (dua dari kiri) di jatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Bahau pada Jumaat.
A
A
A

JEMPOL - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang tertembak rakannya disangka seekor kijang ketika mereka sedang berburu pada bulan lalu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Bahau pada Jumaat.

Majistret Norhazwani Ishak membuat keputusan itu selepas tertuduh, Amran Abd Radzak, 52, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret turut menetapkan dua bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 24 April lalu, kira-kira jam 3 pagi di dalam kawasan hutan muka sauk, Kuala Klawang di Jelebu dengan niat telah menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas dengan melakukan satu perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada homisid salah.

Sehubungan itu tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam mahkamah sama, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri,13 butir peluru hidup dan tiga butir kelongsong peluru jenis 12 Bore pelbagai warna.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pada 26 April lepas, jam lebih kurang 6.30 petang di dalam kawasan semak di tepi jalan muka sauk Kuala Klawang di Jelebu.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Jun ini sebagai sebutan semula pertuduhan memiliki senapang patah buatan sendiri bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!