Nur Azmi tak risau isu berat sebelah
PRESIDEN Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad tidak berasa gusar dengan pengendalian acara karate termasuk isu berat sebelah pada Sukan SEA 2023 Kemboja.
Menurut Nur Azmi, beliau percaya sebarang unsur kontroversi yang sering berlaku dalam sukan tempur sebelum ini tidak akan berlaku pada temasya sukan dwitahunan di Kemboja memandangkan pengerusi teknikal acara yang berlangsung di Chroy Changvar Convention Centre itu adalah dari Malaysia.
"Insya-ALLAH keadaan sedemikian (isu berat sebelah) tidak akan berlaku lagi memandangkan acara kali ini turut dilengkapi bantuan video.
"Dari segi persiapan penganjur pula saya difahamkan terdapat masalah dari segi tempat duduk penonton, hanya 150 penonton sahaja dibenarkan masuk ke dalam dewan,” katanya.
Sementara itu Nur Azmi berkata tiga juara bertahan bagi acara masing-masing wajib membawa pulang emas disasarkan untuk kontinjen Malaysia kali ini.
Katanya, mereka adalah pemenang emas acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) C Shahmalarani, diikuti Sankar Sureeya Sankar Hari (kumite lelaki bawah 67kg) dan juara tiga kali berturut-turut kumite lelaki bawah 75kg, R. Sharmendran.
"Ada tiga lagi sasaran, tapi fokus tiga pingat emas ini terdahulu, dan pingat lain pula adalah bonus,” katanya.
Nur Azmi yang pernah menjadi Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2021 tidak menafikan tekanan sememangnya wujud terhadap rakannya, Datuk Mohd Nasir Ali yang kini mengetuai kontinjen negara, bagi memastikan Malaysia menepati sasaran pingat ditetapkan di Hanoi.
Justeru, beliau berharap agar semua prospek emas negara dapat mempamerkan prestasi membanggakan, sekali gus dapat membakar semangat atlet lain dalam mengharumkan nama negara di Kemboja.
Malaysia menamatkan cabaran di kedudukan keenam dalam carta pungutan pingat keseluruhan dengan meraih 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa pada edisi lepas di Hanoi, Vietnam.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!