Misi hidup mati skuad bola tampar lelaki negara

Skuad bola tampar lelaki negara perlu menang ke atas Vietnam untuk mara ke separuh akhir.
Skuad bola tampar lelaki negara perlu menang ke atas Vietnam untuk mara ke separuh akhir.
A
A
A

SKUAD bola tampar lelaki negara tekad berjuang habis-habisan apabila menentang Vietnam dalam aksi terakhir peringkat kumpulan bagi memburu slot ke separuh akhir pada Sukan SEA 2023 Kemboja.

Ketua pasukan negara Sim Jian Qin menyifatkan perlawanan menentang Vietnam dalam kempen Kumpulan B itu esok adalah misi ‘hidup mati’, kerana hanya kemenangan akan menjamin tempat buat skuad kebangsaan mara ke separuh akhir.

Beliau berkata, walaupun di atas kertas Vietnam merupakan pasukan pilihan, ia bukan menjadi penghalang kepada barisan pemain negara untuk mempamerkan aksi terbaik bagi meraih kemenangan.

"Kelebihan mereka adalah dari segi pemain mereka (Vietnam) yang tinggi, tapi dari aspek pertahanan, pasukan kita nampak lebih baik. Ramai pemain kita lebih rendah daripada mereka, jadi kita boleh bergerak lebih pantas, dan diharapkan nasib menyebelahi kita,” katanya.

Seandainya misi layak ke separuh akhir itu berjaya dilunaskan, ia sekali gus turut memperbaiki prestasi buruk skuad kebangsaan ketika edisi di Hanoi, tahun lepas.

Pada temasya edisi ke-31 di Hanoi, skuad bola tampar lelaki negara tersingkir di peringkat kumpulan dan lebih mengecewakan apabila mereka menamatkan saingan tanpa sebarang kemenangan.

Malaysia dan Vietnam bakal membuat perhitungan terakhir dalam saingan Kumpulan B, bagi mengiringi Thailand yang sudah mengesahkan slot dalam kelompok empat pasukan terbaik pada temasya kali ini.

Sementara itu bagi atlet Khairol Shazrime Shamsaimon, beliau optimis skuad negara mampu menjelmakan keputusan positif, selain menyifatkan kesemua 14 pemain disenaraikan ke Kemboja adalah yang terbaik pada masa ini.

"Kita sudah tengok corak permainan Vietnam ketika mereka lawan dengan Myanmar, jadi kita tahu apa kelemahan dan kelebihan mereka,” katanya.

Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan B, berkongsi empat mata bersama Vietnam yang berada di tempat ketiga, manakala Thailand di kedudukan teratas dengan mengumpul enam mata.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik masing-masing dalam Kumpulan A dan B akan layak ke separuh akhir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!