Ancaman mafia: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia jumpa ahli perniagaan

Tahir (kanan) meluangkan masa berbual bersama Mohammad Azhar (kiri) di kediamannya di Hissari Nehri, Pakistan pada Rabu.
Tahir (kanan) meluangkan masa berbual bersama Mohammad Azhar (kiri) di kediamannya di Hissari Nehri, Pakistan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli perniagaan Malaysia berasal dari Pakistan, Datuk Mohammad Tahir Rahat yang berhadapan dengan ancaman mafia di negara berkenaan memaklumkan bahawa beliau telah dikunjungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sana, Mohammad Azhar Mazlan pada Khamis.

Jelas Mohammad Tahir, menerusi pertemuan di kediamannya di daerah Hissari Nehri, Pakistan itu, beliau telah memaklumkan segala situasi yang terjadi kepadanya.

“Alhamdulillah, Mohammad Azhar juga telah memaklumkan bahawa mereka akan cuba sedaya upaya membantu mengenai isu keselamatan saya dan keluarga.

“Jadi, sekarang ini, saya gesa kepada kerajaan Malaysia supaya bantu mendesak pihak kerajaan Pakistan untuk bertanggungjawab berhubung keselamatan kami di sini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Baru-baru ini, Mohammad Tahir telah menyuarakan bantuan daripada Wisma Putra selepas kediaman mereka di negara berkenaan dihujani peluru oleh sekumpulan mafia tempatan pada Ahad.

Tambah beliau, seramai 200 orang mafia lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah menara peninjau rumahnya sekitar jam 7 pagi.

Ujarnya, kumpulan tersebut turut bertindak menutup semua jalan keluar masuk ke kediamannya itu dari jam 7 pagi hingga 7 petang supaya tiada bantuan dapat diberikan.

Serangan itu dipercayai berpunca daripada tindakan mafia berkenaan yang mahu merampas tanah miliknya yang diwarisi sejak turun temurun.

Jelasnya, kumpulan itu kini telah menempatkan puluhan orang suruhan mereka di tanah berkenaan berjarak 50 ke 100 meter dari rumahnya bagi memerhati setiap gerak-geri yang berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!