MOT akan temui gergasi teknologi, perjelas dasar kabotaj
KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dijadual bertemu dengan wakil syarikat gergasi teknologi terkemuka seperti Facebook dan Google pada minggu depan untuk menjelaskan pendirian Malaysia berhubung dasar kabotaj serta aspek pembaikan kabel dasar laut.
Pertemuan itu juga sebagai memberi kepastian kepada pelabur asing mengenai hala tuju dasar Malaysia.
Anthony berkata, kalangan perniagaan serta pelabur memerlukan kejelasan mengenai dasar terbabit dan Kementerian Pengangkutan (MOT) sememangnya berhasrat untuk menyalurkan maklumat terbabit bagi membantu mereka membuat keputusan berkaitan usaha meningkatkan pelaburan di negara ini.
"Sebagai menteri, saya berperanan memberi penjelasan mengenai dasar. Bagi saya, syarikat-syarikat ini hanya mahu mendapatkan kepastian dari segi dasar dan (pada masa sama) kita juga mahu mendengar pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bunkering Malaysia (MBA) dan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) di sini, pada Jumaat.
Mengulas selanjutnya, Anthony juga menyifatkan aspek pembaikan kabel berkenaan adalah antara isu subsektor dalam dasar kabotaj dan tidak perlu ditangani di peringkat industri.
"Apa yang syarikat dan pelabur teknologi maklumat (IT) ini mahukan adalah (maklumat) sama ada sesebuah kapal dapat ke lokasi terbabit untuk kerja-kerja pembaikan. Sama ada kapal itu dapat tiba ke lokasi dengan cepat dan cekap... hanya itu isunya,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu penting untuk industri IT walaupun isu pembaikan kabel dasar laut berkenaan tidak melibatkan perniagaan maritim secara menyeluruh.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa MOT sedang meneliti semula pengecualian bagi kapal asing melakukan pembaikan kabel dasar laut pada 2019.
Selain itu, EMIR Research berpendapat bahawa ketiadaan pengecualian kabotaj yang membolehkan kapal asing menjalankan kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut di perairan Malaysia, boleh menghalang pelabur asing untuk melabur dalam infrastruktur telekomunikasi serta internet Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata dari segi pembaikan kabel tersebut, Malaysia pada masa ini masih kekurangan kapasiti kapal-kapal pembaikan dalam menyokong keperluan serta keupayaan kabel berkenaan yang juga pelaburan oleh penyedia utama kandungan seperti Facebook dan Google. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!