Paras empangan air di tiga negeri berada atas paras kritikal
PUTRAJAYA - Enam empangan air yang terletak di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah ketika ini, tetapi ia masih berada di atas daripada paras kritikal, menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
SPAN dalam kenyataan hari ini berkata empangan itu ialah Empangan Timah Tasoh di Perlis; Empangan Sungai Muda, Empangan Pedu dan Empangan Beris di Kedah; serta Empangan Ayer Itam dan Empangan Telok Bahang di Pulau Pinang.
Katanya air empangan utama di Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan serta kebanyakan empangan di Johor pula masih berada pada paras maksimum atau melebihi 90 peratus, dan semua empangan itu akan terus dipantau dengan rapi kerana ia terdedah kepada risiko kemarau.
Menurut SPAN, berdasarkan pengalaman kejadian El Nino pada 2015 hingga 2016, beberapa negeri dikenal pasti lebih mudah dipengaruhi oleh impak El Nino, antaranya Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
El-Nino berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekaligus akan mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim terutamanya peningkatan suhu di permukaan dan pengurangan jumlah taburan hujan di Malaysia.
SPAN berkata, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kebarangkalian berlakunya El Nino adalah sekitar 57 peratus pada Jun hingga September ini dan meningkat kepada 62 peratus pada September hingga November ini.
Menurutnya pada masa ini hanya beberapa kawasan setempat mengalami gangguan bekalan air akibat kerja-kerja naik taraf sistem bekalan air, penyelenggaraan berjadual di loji rawatan air yang berkenaan atau disebabkan oleh kejadian paip pecah, dan SPAN telah mengarahkan semua operator air negeri mengambil langkah-langkah tertentu bagi menangani risiko gangguan bekalan air akibat kemarau.
Antaranya dengan memantau kecukupan sumber bekalan air mentah, menyediakan pelan persediaan bagi menghantar lori-lori tangki ke kawasan tertentu apabila diperlukan, menempatkan tangki-tangki statik di kawasan kritikal, bersiap siaga dengan jentera, kenderaan, kelengkapan dan tenaga kerja bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan segera jika berlaku kerosakan di loji atau insiden paip pecah.
"Sekiranya perlu, bantuan penghantaran lori tangki berserta tenaga kerja daripada operator-operator air di negeri lain, bagi mengurangkan impak kekurangan bekalan air di suatu negeri," kata SPAN.
SPAN berkata, usaha itu adalah selaras dengan "Memorandum Persefahaman Mengenai Kerjasama Di Antara SPAN Dan Operator-operator Bekalan Air Semasa Menghadapi Krisis Air” yang telah ditandatangani oleh semua operator air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Seterusnya SPAN seterusnya menasihatkan pengguna supaya berhemah dalam menggunakan air dan tidak membazir supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!