Tapak kaki Pak Belang di Bukit Berekeh
SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan berkaitan kehadiran harimau belang di Bukit Berekeh di sini pada Rabu.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, siasatan menemukan kesan tapak kaki harimau belang dewasa yang dianggarkan berusia 8 hingga 9 tahun.
"Pasukan dari Unit Harimau Perhilitan Perak telah melakukan rondaan dan kawalan di lokasi kejadian. Langkah-langkah awal menghalau semula haiwan liar itu sedang dilakukan.
"Sekiranya harimau ini tidak masuk semula ke hutan dalam waktu terdekat, kita akan pasang perangkap," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Yusoff juga menafikan harimau terbabit merupakan haiwan sama yang dilaporkan penduduk di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor, Januari lalu.
Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar tidak bersendirian ketika melakukan aktiviti di hutan atau kawasan ladang berhampiran terutama dalam suasana gelap iaitu awal pagi atau senja.
"Penduduk juga dinasihatkan untuk memasukkan haiwan ternakan mereka ke dalam kandang serta jangan pasang jerat.
"Sekiranya terserempak dengan pak belang ini, orang ramai diminta tidak melakukan provokasi selain melaporkan kepada kami jika terserempak dengan individu yang mencurigakan atau kumpulan pemburu," katanya.
Terdahulu, beberapa keping gambar kesan tapak kaki harimau belang yang ditemukan kumpulan pendaki sekitar jam 4 pagi telah tular di media sosial pada Jumaat.
Bukit Berekeh setinggi 454 meter itu popular dalam kalangan pendaki berikutan mempunyai pemandangan yang menarik di puncak bukit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!