Pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani boleh parkir di PSP
BUKIT MERTAJAM - Orang ramai yang berhasrat menghadiri sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Pulau Pinang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang pada Sabtu boleh meletakkan kenderaan di kawasan Politeknik Seberang Perai (PSP).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihak penganjur menyediakan lima bas Rapid Penang ulang-alik kepada pengunjung yang meletakkan kenderaan di PSP, tidak jauh dari UiTM Pulau Pinang, bagi memudahkan mereka ke majlis rumah terbuka itu.
Katanya, 2,000 tempat parkir disediakan di PSP khusus untuk memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka di situ bagi mengelakkan kesesakan, atau masalah meletak kereta dalam kawasan UiTM Pulau Pinang.
"Selain di PSP, pihak penganjur turut menyediakan beberapa kawasan parkir dalam UiTM Pulau Pinang bagi memudahkan pengunjung yang ingin ke program itu, namun orang ramai perlu datang awal kerana tempat adalah terhad iaitu kira-kira 1,800 unit (petak parkir) sahaja.
"Di dalam kawasan UiTM itu, pihak penganjur turut menyediakan tujuh van ulang-alik untuk membawa orang ramai dari kawasan parkir ke lokasi sambutan rumah terbuka itu," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Cheng San berkata, pihak polis menjangkakan 15,000 hingga 18,000 pengunjung akan membanjiri program sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI itu yang bermula 11 pagi hingga 2 petang, namun menurutnya majlis akan tetap diteruskan sehingga semua makanan yang disediakan habis.
Katanya, polis juga meminta kerjasama orang ramai yang mahu berkunjung ke program itu supaya merancang perjalanan mereka bagi mengelak berlaku kesesakan teruk dan mematuhi arahan polis yang menjaga lalu lintas di kawasan berkenaan.
"Seramai 23 pegawai dan 149 anggota polis akan ditugaskan untuk memantau lalu lintas dan keselamatan perjalanan program itu, dengan dibantu 29 anggota polis bantuan dari UiTM Pulau Pinang, 22 anggota Rela dan 22 anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi.
"Kami akan tempatkan petugas di seluruh kawasan itu dan orang ramai diminta mematuhi arahan mereka, pegunjung juga dinasihatkan agat tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan atau tempat yang tidak dibenarkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!