Karnival Pendidikan Sinar Bestari ditangguhkan

Farah
Farah
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 12 Mei ini ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, pihaknya prihatin kesihatan dan keselamatan pengunjung yang hadir terutama pelajar sekolah rendah dan menengah berikutan cuaca panas serta kering berpanjangan sedang melanda negara.

“Selepas perbincangan dan atas persetujuan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang juga penganjur bersama, kita ingin memaklumkan bahawa KPSB dijadualkan pada 10 hingga 12 Mei 2023 di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam akan ditangguhkan ke satu tarikh lain, kemungkinan pada Julai ini.

“Kami menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terutama melibatkan semua aktiviti luar sepanjang keadaan cuaca panas berpanjangan ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Farah, Jawatankuasa KPSB juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sokongan semua pihak yang telah memberi maklum balas luar biasa dalam penganjuran karnival berkenaan.

“Semoga ALLAH memberi kemudahan kepada semua untuk menjayakan KPSB. Sehubungan itu, kami juga mohon jasa baik semua pihak terlibat untuk membuat hebahan mengenai penangguhan acara ini,” ujarnya.

Meen
Meen

Sementara itu, Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin berkata, pihaknya menghormati dan menyokong penuh keputusan dibuat di peringkat kementerian apatah lagi ia melibatkan penglibatan dan keselamatan pelajar yang sentiasa menjadi keutamaan.

Mengulas lanjut mengenai karnival, beliau berkata, perancangan adalah untuk mengemaskini semula aktiviti-aktiviti yang telah dirancang mengikut tarikh baharu bakal diumumkan kelak.

“Sudah pasti ia akan lebih menarik selain lebih ramai berpeluang untuk menyertai. Ini kerana sambutan diberikan daripada sekolah-sekolah di sekitar Selangor sangat memberangsangkan.

“Oleh itu, kami akan cuba menjadikan karnival ini paling besar dan meriah di negeri Selangor khususnya,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar sokongan daripada pihak sekolah dapat diteruskan sehingga karnival yang berkemungkinan akan berlangsung pada Julai ini.

“Pelajar ini juga mempunyai banyak masa untuk berlatih dengan lebih gigih bagi melayakkan diri ke peringkat akhir nanti.

“Dalam pada itu, saya juga mengalu-alukan kehadiran lebih ramai pempamer untuk bersama-sama kami menjayakan karnival ini,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!