Pencemaran udara Thailand semakin parah
BANGKOK - Thailand berdepan pencemaran udara paling teruk di dunia setakat ini apabila jerebu dilihat melanda hampir seluruh wilayah di Bangkok hingga menyebabkan peningkatan penduduk mendapatkan rawatan berkaitan masalah pernafasan di hospital.
Pada masa sama, kempen menjelang pilihan raya umum (PRU) pada 14 Mei ini menyaksikan ketua-ketua parti turun berkempen dengan mengajak orang ramai berkumpul di tempat terbuka yang dikhuatiri akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
Menurut pegawai kesihatan, sejak awal tahun ini hampir 2.4 juta penduduk Thailand memerlukan rawatan berkaitan pencemaran udara termasuk hampir 200,000 orang pada minggu ini.
Bangkok dan bandar utara Chiang Mai dinobatkan 10 bandar tercemar di dunia pada minggu lalu, menurut firma pemantauan kualiti udara IQAir.
Pakar masalah pernafasan di Central Chest Institut of Thailand, Piamlarp Sangysayunh berkata, dia telah melihat peningkatan drastik pesakit sejak Februari lalu.
“Pesakit biasanya mengalami masalah pernafasan seperti batuk dan sakit tekak,” katanya kepada AFP, sambil menambah setengah kes menyebabkan keradangan mata.
Tambahnya, golongan warga emas paling terdedah dengan pencemaran udara sehingga memburukkan keadaan penyakit dialami sedia ada dan mereka terpaksa mendapatkan bantuan mesin oksigen.
Selain itu, peniaga jalanan dan pemandu teksi di Bangkok antara golongan berisiko besar kerana mereka paling terdedah kepada pencemaran udara ketika bekerja di luar rumah.
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Thailand, Jos Vandelaer berkata, pencemaran udara bukan semata-mata isu kesihatan tetapi juga menjejaskan produktiviti ekonomi.
“Jika orang sakit tidak boleh pergi bekerja, akan ada pengurangan aktiviti ekonomi,” katanya kepada AFP.
Menurut ahli ekonomi alam sekitar Universiti Kasetsart, Witsanu Attavanich, kos ekonomi melibatkan pencemaran udara di Thailand pada 2019 bersamaan dengan AS$63.1 bilion (RM280.9 bilion) atau 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Asap kebakaran hutan, petani membakar tunggul tanaman dan pelepasan kenderaan serta asap yang dihasilkan oleh industri berat adalah antara punca utama asap toksik di negara itu.
Pakar berkata, corak cuaca El Nino juga memburukkan lagi masalah jerebu di Asia Tenggara. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!