Jenazah dua beradik dikebumi sebelah pusara ibu
KUALA NERUS - Jenazah dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 257.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat Seremban, Negeri Sembilan selamat dikebumikan kira- kira jam 11.15 malam pada Jumaat.
Allahyarham Mohd Husaini Amir Harun, 29, dan adiknya, Muhammad Amirul Syafiq Harun, 25, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tunggal, di sini, bersebelahan pusara ibu mereka.
Jenazah mangsa tiba di kediaman keluarga dari Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban kira-kira jam 7.30 malam sebelum selesai disolatkan di rumah keluarganya di Kampung Pengkalan Batu di sini kira-kira jam 10 malam.
Difahamkan, lebih 200 ahli keluarga serta kenalan hadir mengiringi dan memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua jenazah di tanah perkuburan itu.
Insiden menimpa dua beradik itu berlaku kira-kira jam 7.05 minit pagi pada Jumaat apabila motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori jenis Hino yang membawa muatan makanan haiwan.
Ketika itu, lori dipandu lelaki berumur 49 tahun sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya dari arah Pulau Pinang menuju ke arah Melaka.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang mereka dari arah lorong kecemasan telah mengubah haluan masuk ke lorong kiri dan melanggar bahagian belakang lori tersebut.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!