Kanak-kanak perempuan lebih mudah anemia
ANEMIA ialah satu keadaan di mana badan kekurangan sel darah merah.
Sel darah merah sangat penting untuk membawa oksigen ke seluruh badan.
Terdapat banyak jenis anemia dan iron deficiency atau anemia disebabkan kekurangan zat besi adalah yang paling sering berlaku di kalangan kanak-kanak.
Anemia akibat kekurangan zat besi terjadi apabila tubuh kekurangan zat besi untuk menghasilkan sel darah merah yang bermutu.
Zat besi merupakan elemen yang penting dalam pembentukan sel darah merah.
Kekurangan zat besi mengakibatkan badan tidak boleh menghasilkan hemoglobin (Hb) iaitu protein penting dalam sel darah merah yang mencukupi untuk membawa oksigen ke seluruh badan.
Ini mengakibatkan badan kekurangan sel darah merah dan akan mengalami tanda-tanda seperti pucat dan mudah keletihan
Apa yang menyebabkan kurang zat besi?
Terdapat beberapa sebab kekurangan zat besi dalam badan iaitu:
- Kehilangan darah
- Kurang bekalan zat besi dalam badan
- Kurang kebolehan untuk penyerapan zat besi
Kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi. Bayi dan kanak–kanak yang mempunyai risiko yang tinggi ialah dalam kalangan kumpulan yang berikut:
- Bayi yang dilahirkan pramatang (awal tiga minggu dari tarikh dijangka bersalin) dan juga bayi yang kurang berat badan (<2.5kg)
- Bayi yang minum susu lembu sebelum berumur setahun
- Bayi yang menyusu badan dan tidak diberi makanan yang kaya dengan zat besi apabila mencapai umur enam bulan.
- Bayi yang minum susu formula yang tidak diperkaya dengan zat besi
- Kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun yang minum susu formula, susu lembu, susu kambing atau susu soya lebih dari 24 auns (710 milliliter) sehari
- Kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan seperti jangkitan kronik ataupun regim pemakanan yang ketat.
- Kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun yang terdedah kepada plumbum
- Kanak-kanak yang mempunyai masalah kecacingan
Remaja perempuan juga berisiko tinggi untuk mendapat anemia kekurangan zat besi kerana mereka kehilangan zat besi semasa haid.
Tanda-tanda
Pada peringkat awal kesan kekurangan zat besi tidak ketara dan jarang disedari. Lama-kelamaan tanpa rawatan, anemia menjadi lebih teruk dan kesannya akan mula dirasai. Tanda-tanda kekurangan darah selalunya ialah:
- Merasa cepat letih lebih dari biasa
- Merasa mudah marah
- Pening kepala
- Sukar menumpukan perhatian/berfikir
Bila anemia semakin teruk, lebih banyak tanda akan dialami seperti:
- Mata putih kelihatan kebiruan
- Kuku menjadi rapuh dan senang patah
- Keinginan untuk makan ais atau yang “bukan makanan” (pika) seperti plastik
- Berasa pening apabila berdiri dari posisi duduk
- Kulit menjadi pucat
- Sesak nafas
- Lidah merasa pedih
- Degupan jantung yang cepat
Ujian makmal
Anemia kekurangan zat besi ini dikesan melalui beberapa ujian darah. American Academy of Pedaitrics (AAP) mencadangkan agar semua bayi perlu menjalani ujian saringan anemia kekurangan zat besi apabila mencapai usia 9 – 12 bulan. Mereka yang mempunyai risiko tinggi perlu mengulangi ujian saringan ini bila mengalami tanda-tanda anemia.
Ujian-ujian yang diperlukan ialah:
Complete blood count (untuk melihat kadar hemoglobin dan parameter lain)
Ujian zat besi termasuk serum zat besi, serum ferritin dan kapasiti untuk mengikat zat besi
Kadar hemoglobin normal mengikut umur
Rawatan
Rawatan untuk penyakit anemia kekurangan zat besi ialah dengan pengambilan zat besi tambahan dan juga makanan yang kaya dengan zat besi.
Makanan yang kaya dengan zat besi termasuk:
- Ayam
- Kekacang seperti kacang merah dan kacang pea
- Ikan
- Daging (hati merupakan bahagian yang kaya dengan zat besi)
- Jem kacang
- Kacang soya
- Roti
- Oat
- Kismis
- Sayuran hijau seperti bayam
Doktor selalunya akan memberi “syrup Ferrous Ammonia Citrate” untuk meningkatkan zat besi. Sekiranya rawatan yang diberikan gagal untuk merawat anemia, beberapa faktor perlu diambil kira seperti:
- Tidak mengambil ubat yang diberi
- Dos ubat kurang daripada yang diperlukan
- Masalah dengan penyerapan zat besi dalam badan
- Diagnosa yang salah
Kesan
Dengan rawatan penyakit ini boleh dirawat sepenuhnya dan tiada komplikasi serius tetapi tetap bergantung kepada sebab-sebabnya.
Bila perlu berjumpa doktor?
Apabila mempunyai tanda-tanda anemia
Cara mencegah
Risiko untuk mendapat anemia kekurangan zat besi boleh dikurangkan dengan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi.
Selain itu digalakkan untuk mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C kerana vitamin C dapat membantu badan menyerap zat besi dengan lebih baik.
Makanan yang kaya dengan vitamin C antaranya ialah:
- Broccoli
- Limau gedang
- Kiwi
- Sayuran hijau
- Tembikai
- Oren
- Cili
- Strawberi
- Tangerin
- Tomato
Bagaimana untuk mengelakkan anemia kekurangan zat besi?
Untuk mengurangkan risiko kekurangan zat besi adalah penting untuk memastikan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi dengan cukup.
Pastikan bayi berumur enam bulan ke atas ditambah dan diperkenalkan dengan makanan yang kaya dengan zat besi.
Selain itu ibu bapa harus memastikan kanak-kanak berumur lebih dari satu tahun untuk tidak mengambil susu secara berlebihan (> 24 auns sehari).
Pengambilan susu yang berlebihan ini akan menyebabkan tiada ruang untuk makanan yang kaya dengan zat besi.
Sumber: Portal MyHealth
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!