Ini bukan masa berebut kuasa
HANGAT isu dakwaan usaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia malah turut mendakwa Kerajaan Perpaduan sudah hilang majoriti.
Ini susulan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhammad Faiz Na'aman turut memberi bayangan bahawa gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.
Pada Rabu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menyuarakan kebimbangan baginda dengan desas-desus berkenaan kestabilan kerajaan yang terus kedengaran sehingga hari ini, walaupun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Baginda bertitah, rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 ahli Parlimen untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komplot untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan berjaya meskipun pihak terbabit mengakui mempunyai akaun bersumpah (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Anwar juga melahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga habis penggal walaupun ada cubaan untuk menjatuhkannya.
Menurut Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin, usaha pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan memberi impak besar kepada rakyat dan negara sekali gus menyebabkan politik negara tidak stabil serta kerajaan dilihat lemah.
Ujar Shahrul Nasrun, tiga impak besar tersebut adalah kurangnya keyakinan pelabur luar untuk melabur dalam negara, kemerosotan penilaian prestasi negara dan pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 terbantut.
Sementara itu, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan GPS mahu terus memberi tumpuan kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan demi membangunkan ekonomi dan rakyat Malaysia seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula menegaskan sekali lagi bahawa BN memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Zambry, ini kerana BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara aman dan stabil dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang disepakati oleh semua parti yang membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan.
Segala dakwaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada ini sudah tentu memberi impak buruk kepada negara dan juga rakyat kerana ketidakstabilan politik menyukarkan usaha kerajaan untuk melaksanakan sebarang dasar sekali gus memulihkan prestasi negara.
Ini bukan masanya untuk berebut kuasa sebaliknya ahli politik ketika ini perlu memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan memulihkan ekonomi negara.
Sepatutnya ahli politik menunjukkan contoh baik kepada rakyat kerana rakyat kini sudah jemu dengan segala perebutan kuasa yang tidak berpenghujung.
Apa yang rakyat mahu kini adalah kerajaan dapat membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup selain meneruskan dasar-dasar untuk memulihkan ekonomi negara akibat kesan pandemik Covid-19.
Justeru, ahli-ahli politik diminta memahami keluh kesah rakyat bukan sekadar untuk mengejar kepentingan peribadi masing-masing.
Sudah tiba masanya mereka menghentikan perbuatan sedemikian untuk tidak sekali lagi mengheret negara ke kancah politik tidak menentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!