Penunggang motosikal 'kayangan': Polis sangkal kenyataan Caprice
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan pempengaruh, Caprice yang mengkritik tindakan pihak berkuasa yang seolah-olah melindungi penunggang motosikal ‘kayangan’.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, dakwaan yang dimuat naik Caprice di akaun Instagram pada Jumaat adalah salah dan tidak benar.
Menurut Mat Kasim, pihaknya tidak pilih kasih ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya.
"Tidak kira menunggang motosikal kapcai atau Ducati, mereka yang terlibat akan diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang ditetapkan.
"Untuk makluman, dua kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dibuka oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor berkait kejadian berasingan yang melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kertas siasatan dalam proses akhir sebelum mendapat keputusan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Katanya, terdapat juga kes penunggang motosikal berkuasa tinggi yang tidak memakai topi keledar diambil tindakan selepas videonye tular di media sosial.
"JSPT sentiasa memastikan siasatan yang adil dan telus tidak kira latar belakang mereka yang melakukan kesalahan," ujarnya.
Justeru, orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar dan mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kesalahan undang-undang jalan raya disalurkan kepada PDRM agar tindakan dapat diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!