Pisang 'tutup aurat' pertama berbuah di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Sejenis pokok pisang hiasan digelar pisang 'tutup aurat' atau nama saintifiknya ensete glaucum yang ditanam seorang jurutera di sini telah mengeluarkan hasil selepas ditanam hampir dua tahun.
Mohammad Saleh, 59, berkata, pokok yang ditanam di tepi rumahnya di Kampung Surau Haji Daud di sini telah mengeluarkan jantungnya sejak minggu lalu.
Menurutnya, benih pokok itu diperoleh dari pokok sama yang pernah tular selepas tumbuh di pekarangan Masjid Paloh 2, Gua Musang, Kelantan lapan tahun lalu iaitu pada 2015.
"Disebabkan minat untuk menanam pokok itu, saya telah pergi sendiri ke Masjid Paloh untuk meminta setandan pisang yang telah masak dari imam di masjid itu pada April 2021.
"Daripada pisang yang diperoleh itu saya dapat 300 biji benih dan hanya empat benih sahaja yang tumbuh selepas disemai. Kini hanya tiga pokok sahaja yang tumbuh dan membesar," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.
Mohammad berkata, penemuan pokok pisang di Gua Musang ketika itu mendapat liputan meluas kerana ia dikatakan yang pertama tumbuh di Malaysia dan dipercayai hanya ditanam secara eksklusif di pekarangan istana Raja Thailand.
Bapa kepada enam anak itu berkata, gelaran pisang 'tutup aurat' diberikan kerana buahnya seolah-olah berselindung di bawah daun yang berlapis-lapis.
"Sebenarnya tiga bulan lepas pokok pisang ini seolah-olah terbantut dan daunnya tidak subur mungkin disebabkan perubahan cuaca yang agak panas atau terjejas akibat serangan penyakit.
"Saya sebenarnya bimbang sekiranya pokok ini mati. Mujurlah selepas guna baja dan racun organik yang saya hasilkan sendiri, pokok itu mula pulih dan menghijau.
"Saya bersyukur kerana salah satu daripada pokok pisang itu sudah mula mengeluarkan jantungnya minggu lalu dan dijangka buah pertama boleh dituai selepas Hari Raya Aidiladha nanti," katanya.
Mohammad berkata, dia tidak menolak kemungkinan pokok itu adalah yang pertama di negeri ini.
"Setakat ini, pokok itu tidak pernah dilihat ditanam di mana-mana tempat di Terengganu.
"Saya percaya ia adalah yang pertama di Terengganu kerana benihnya juga agak sukar untuk diperoleh," katanya.
Ujarnya lagi, dia dan isteri, Hashimah Ngah, 59, terbuka untuk berkongsi kisah mengenai pisang itu memandangkan ia adalah tumbuhan yang unik dan ganjil.
"Insya-ALLAH, saya juga sedia berkongsi tips atau petua penjagaan kepada mana-mana individu atau pihak yang berminat untuk menanam pokok ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!