Johor bincang bantuan atlet negeri raih pingat Sukan Sea

Mohd Hairi bersama beberapa pengamal media pada Majlis Rumah Terbuka berkenaan.
Mohd Hairi bersama beberapa pengamal media pada Majlis Rumah Terbuka berkenaan.
A
A
A

KERAJAAN Johor akan berbincang dengan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Johor berhubung bantuan yang akan diberikan kepada atlet negeri yang meraih pingat, terutamanya pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja ke-32, kali ini.

Menurut Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Mohd Hairi Mad Shah, perbincangan itu dibuat agar bantuan yang diberikan kelak memadai dengan kejayaan yang dihasilkan atlet berkenaan dalam mengharumkan nama negara dan Johor dalam temasya dwi tahunan itu.

"Sekarang sedang berlangsung temasya Sukan terbesar di Asia Tenggara iaitu Sukan Sea mulai 5 hingga 17 Mei nanti dan seramai 66 atlet yang bertanding adalah dari negeri Johor; paling ramai.

"InsyaaALLAH, kita juga percaya pingat yang akan diperoleh nanti juga datangnya daripada atlet Johor.

"Oleh itu bantuan ini akan kita bincangkan dengan pihak MSN JOHOR... sebelum ini kita juga dah berikan bantuan awal RM1,000 kepada kesemua 66 atlet yang bertanding," katanya pada Sabtu.

Mohd Hairi berkata demikian sempena Majlis Rumah Terbukanya di Dewan Taman Perbadanan Islam, Jalan Serunai, Kebun Teh, di sini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad serta beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Untuk rekod, kesemua 66 atlet dari Johor yang melibatkan 35 atlet lelaki dan 31 wanita bertanding dalam sukan olahraga, akuatik, badminton, bola keranjang, kriket, berbasikal, hoki dan tinju pada temasya edisi ke-32 itu.

Sementara itu Mohd Hairi berkata, pihaknya akan ke Kemboja mulai 15 hingga 18 Mei ini dalam usaha memberikan sokongan kepada atlet negara khususnya atlet dari Johor.

Katanya, kehadiran rombongan daripada pihak kerajaan negeri itu diharap dapat membantu memberikan semangat kepada atlet-atlet yang sedang bertanding.

"Diharapkan kunjungan kami akan membantu memberikan semangat kepada atlet.

"Bagaimanapun, kami belum berbincang samada nak bawa penyokong atau tidak kerana kalau bawa mereka ni terlalu ramai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!