Kerajaan Pusat tambah dana, Pulau Pinang bakal ada LRT
BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar bagi melaksanakan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
"Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar bagi membolehkan kerajaan negeri dengan segera untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang," katanya ketika berucap di Rumah Terbuka Malaysia Madani Perdana Menteri 2023 di Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.
Majlis yang dihadiri kebanyakan pemimpin kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat itu berlangsung bermula jam 11 hingga 2 petang dan dihadiri kira-kira 20,000 orang.
Menurut Anwar, Jemaah Menteri termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke secara prinsipnya telah memberi persetujuan berhubung skim dan dana tersebut.
"Saya juga telah berjumpa dengan pegawai Kementerian Kewangan turut diadakan semalam (Jumaat) untuk mencari kaedah yang lebih baik. Dalam tempoh satu dua minggu lagi, kita akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri untuk adakan skim yang benar-benar cukup.
"Ini kerana, peruntukkan itu agak besar dan juga pinjaman selain memerlukan campur tangan kerajaan Persekutuan agar ia dapat disegerakan," kata beliau.
Tambah beliau, kesesakan di Pulau Pinang amat mendesak dan memerlukan langkah untuk menanganinya.
"Kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang amat mendesak dan keterlaluan. Kita ada MRT, LRT di Lembah Klang, kenapa ia tidak boleh dialih ke negeri ini.
"Sebagai salah sebuah kota terbesar di negara, kenapa kita tidak adakan LRT di Pulau Pinang," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, beliau juga mengarahkan supaya Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) dikaji semula dan memperkecilkan skopnya.
"Saya mendengar semua keluh kesah mengenai projek tambakan laut ini. Kita, Ketua Menteri dan kerajaan negeri sudah ambil semua langkah dan memberi jaminan tentang kedudukan nelayan, masalah hakisan, masalah pembangunan semula perkampungan Melayu di beberapa tempat dan kawasan minoriti India dan Gertak Sanggul dengan majoriti orang Cina.
"Tetapi alasan rasional yang diberikan ialah bahawa Kerajaan Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak beri dana yang cukup terutama dalam pembangunan infrastruktur yang mendesak untuk Pulau Pinang.
"Saya telah teliti dengan rakan-rakan jemaah menteri dan oleh itu saya ambil kesempatan di sini untuk mengumumkan bagi meredakan permasalahan ini, supaya projek tambakan laut ini dapat dikaji semula dan diperkecilkan skopnya," katanya.
Sebelum ini, projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.
Selain itu, Projek LRT juga merupakan salah satu projek di bawah PTMP yang mana, ia turut melibatkan monorel dan tiga buah lebuhraya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.
Bagaimanapun, permohonan bagi mendapatkan pinjaman serta jaminan berjumlah RM2 bilion berhubung projek LRT ditolak oleh Kementerian Kewangan pada 2020 lalu.
Projek LRT tersebut meliputi 29.9 kilometer laluan rel dengan 27 stesen dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tiga lagi kawasan membabitkan pulau-pulau tebus guna di selatan Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM8 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!