Pendaki tertua Everest tangguh misi tawan Puncak Jaya

Elanghovan terpaksa menangguhkan hasratnya untuk mendaki puncak tertinggi di Oceania, Carstensz Pyramid atau dikenali sebagai Puncak Jaya, di Wilayah Papua Barat, Indonesia, pada tahun ini kerana risiko keselamatan.
Elanghovan terpaksa menangguhkan hasratnya untuk mendaki puncak tertinggi di Oceania, Carstensz Pyramid atau dikenali sebagai Puncak Jaya, di Wilayah Papua Barat, Indonesia, pada tahun ini kerana risiko keselamatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendaki Tertua Malaysia ke Everest, N. Elanghovan terpaksa menangguhkan hasratnya untuk mendaki puncak tertinggi di Oceania, Carstensz Pyramid atau dikenali sebagai Puncak Jaya, di Wilayah Papua Barat, Indonesia, pada tahun ini kerana risiko keselamatan.

Pendaki veteran berusia 65 tahun itu bersama kumpulan yang sepatutnya berlepas ke Indonesia pada Mac lepas bagi menyelesaikan misi Seven Summits iaitu menawan kesemua tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua itu, telah dinasihatkan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk berbuat demikian sehingga konflik di wilayah itu reda.

Hal itu susulan kejadian seorang juruterbang warga New Zealand diculik dan dijadikan tebusan oleh puak pemisah.

Justeru, Elanghovan membuat keputusan untuk meneruskan misinya ke puncak tertinggi di benua Amerika Utara, iaitu Gunung Denali di Alaska dengan ketinggian 6,194 meter (m) bermula 11 Jun hingga 2 Julai ini.

"Sebelum ini saya telah membuat persiapan untuk mendaki gunung yang berbatu-batuan di Carstensz Pyramid, yang memerlukan pendakian teknikal menggunakan tali dan harness. Gunung Denali pula mencabar dari segi cuaca ekstrem di Alaska, permukaan yang dilitupi salji tebal sejak kita mendarat di base camp.

"Uniknya di Denali, kita akan menggunakan andur salji (sledge) untuk menarik kelengkapan mendaki. Kita juga perlu membeli atau menyewa banyak peralatan yang sesuai untuk menghadapi cuaca sejuk di sana,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain perubahan keadaan pendakian, kos pendakian juga telah meningkat daripada ASD8,000 (lebih kurang RM35,400) ke Puncak Jaya menjadi kira-kira ASD12,000 (RM53,244) bagi misi Gunung Denali.

Menurut laporan media antarabangsa, kumpulan militan yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB) telah menculik juruterbang Philip Mehrtens serta membakar pesawat kecil yang diterbangkannya di daerah terpencil Paro, berhampiran pergunungan Nduga pada Februari lepas.

Puncak Carstensz Pyramid yang setinggi 4,884 m yang diliputi salji, merupakan titik tertinggi di Oceania atau Australasia, yang juga merupakan puncak tertinggi dunia di sesebuah pulau.

Tahun lepas, Elanghovan mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai "Rakyat Malaysia Tertua Mendaki Gunung Everest” apabila berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu ketika usia 64 tahun pada 12 Mei 2022.

Setelah mendaki Everest dengan ketinggian 8,849 m di Asia dan Gunung Kilimanjaro di Afrika (5,895 m) yang dilakukan pada Ogos 2016, Elanghovan masih berbaki lima lagi puncak untuk melengkapkan misi Seven Summits itu.

Ia terdiri daripada Gunung Aconcagua (6,961 m) di Argentina, Amerika Selatan; Gunung Elbrus (5,642 m) di Rusia, Eropah; dan Gunung Vinson Massif (4,892 m) di Antartika, selain Puncak Jaya dan Gunung Denali. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!