Rahadiazli pasrah terlepas aksi Sukan SEA Kemboja
PENJAGA gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim yang digugurkan daripada skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara ke Sukan SEA Kemboja akibat kecederaan menerimanya sebagai ujian buat seorang pemain bola sepak profesional.
Justeru pemain berusia 22 tahun itu mahu fokus untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum Liga Super kembali bersambung selepas berakhir temasya dwitahunan tersebut.
Beliau berkata, dugaan sentiasa menimpa dirinya setiap kali dipanggil ke skuad kebangsaan kerana sebelum ini namanya digugurkan daripada skuad Harimau Malaya selepas positif Covid-19 dan terbaharu mengalami kecederaan retak di bahagian tangan kanan sekali gus terpaksa melupakan hasrat ke Kemboja.
Bagaimanapun situasi itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus bekerja keras terutamanya dalam usaha membantu kelab kembali ke kedudukan yang lebih baik di pentas Liga Super.
“Situasi macam ini saya sudah selalu lalui sejak berumur 19 tahun lagi. Setiap kali ke skuad kebangsaan, pasti ada sahaja yang tak kena.
“Tak kisah benda kecil atau besar, pasti ada sesuatu akan terjadi macam sekarang ini, tetapi saya anggap ia sebagai ujian dan saya juga kena sentiasa perbaiki diri," katanya.
Rahadiazli tidak dapat menyembunyikan kekecewaan tersebut kerana ia adalah peluang terakhir buatnya untuk beraksi di Sukan SEA.
“Berasa kecewa sebab saya tahu ini adalah Sukan SEA yang terakhir dan saya nak perbaiki balik apa yang pernah jadi ketika di Singapura (Piala Merlion) tahun lepas.
“Apabila keputusan X-ray keluar, saya sudah tahu tak dapat untuk ke Sukan SEA. Saya tidak mahu fikir apa-apa, hanya nak cepat pulih sahaja,” katanya.
Rahadiazli menyifatkan kecederaan yang dialaminya itu tidak terlalu serius dan dijangka pulih dalam tempoh dua hingga ke tiga minggu selain positif kembali beraksi dalam kesebelasan utama.
Bahkan, tempoh rehat ketika ini sebelum sepak mula bersambung pada 19 Mei ini sekurang-kurangnya dapat memberikan lebih masa kepada dirinya untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan yang lebih baik selepas ini.
“Kecederaan saya ini tidak teruk sangat cuma sekarang ada rasa tak selesa di bahagian jari dan kecederaan ini tidak akan lama.
“Apa yang penting, ia tidak ambil masa lama untuk pulih sepertimana yang saya pernah kena ACL sebelum ini apabila terpaksa berehat lama.
“Cuma awal-awal doktor cakap ada sedikit retak dan tulang ada sedikit terkehel, tetapi sekarang Alhamdulillah semakin baik,” katanya.
Terengganu FC akan berkunjung ke Stadium Likas pada 19 Mei ini untuk aksi Liga Super menentang Sabah FC menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbrückner itu berada di tangga kelapan dengan 13 mata setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!