Rozana sedia pertahan DUN Permatang

Rozana (berdiri, tiga dari kiri) bergambar bersama urus setia yang hadir semasa Majlis Mesra Aidilfitri DUN Permatang di Pekarangan Pusat Khidmat ADUN Permatang di sini pada Sabtu.
Rozana (berdiri, tiga dari kiri) bergambar bersama urus setia yang hadir semasa Majlis Mesra Aidilfitri DUN Permatang di Pekarangan Pusat Khidmat ADUN Permatang di sini pada Sabtu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Rozana Zainal Abidin bersedia diletakkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Rozana yang memenangi kerusi itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, sekiranya diberi mandat beliau bersedia untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Jelasnya, sebagai wakil rakyat, beliau telah melaksanakan tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Saya telah menjalankan tanggungjawab dan menjalankan kerja-kerja untuk membantu rakyat dan saya serah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan dan menilai gerak kerja saya selama ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Mesra Aidilfitri DUN Permatang di Pekarangan Pusat Khidmat ADUN Permatang, di sini pada Sabtu.

Beliau memberitahu, rakyat di kawasan itu sememangnya mengenali beliau kerana pernah menjadi Penyelaras DUN Permatang pada 2013.

"Fokus saya hendak buat kerja dan memastikan kerusi (DUN Permatang) kekal milik PKR," ujar beliau.

Katanya, sepanjang berkhidmat di DUN Permatang, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk mewujudkan kawasan itu sebagai hab makanan.

"Kalau turun dari Jambatan Kuala Selangor menghala ke Tanjong Karang, mesti nampak pelbagai kedai makanan yang boleh dinikmati di kiri dan kanan jalan.

"Kita mahu memperkenalkan pelbagai menu makanan di sini supaya rakyat berhenti singgah sekali gus dapat menjana pendapatan penduduk," katanya.

Tambah Rozana, tumpuan beliau juga terarah kepada usaha meningkatkan lagi taraf pendidikan anak-anak di DUN Permatang.

Jelas beliau, dengan kewujudan Universiti Selangor (Unisel) di DUN itu ia membuka peluang kepada anak-anak menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.

"Anak-anak Permatang diberikan yuran percuma di Unisel dan kami juga membantu menjelaskan yuran peperiksaan bagi golongan yang tidak berkemampuan.

"Selain itu, bagi memastikan rakyat di DUN ini sihat, saya mewujudkan hab sukan di Kampung Sungai Terap dengan dilengkapi fasiliti seperti padang bola sepak dan sebagainya untuk kemudahan rakyat," kata Rozana.