Nur Assyira pertahan perak berbasikal bukit
PELUMBA basikal, Nur Assyira Zainal Abidin menceriakan kem berbasikal bukit negara apabila menghadiahkan pingat perak dalam acara individu cross country Olympic wanita pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Sabtu.
Pelumba berusia 29 tahun itu menamatkan saingan sejauh 18.5 kilometer (km) dalam perlumbaan di Kulen Mountain, Siem Reap yang terletak kira-kira 320 km dari ibu negara Kemboja dengan catatan 1 jam 17 minit 09 saat.
Kejayaan jaguh basikal bukit wanita kebangsaan itu meraih perak sekali gus mengulangi pencapaiannya pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas.
Pelumba Indonesia, Sayu Bella Sukma Dewi mengungguli acara berkenaan yang berlangsung dalam keadaan cuaca mencecah hampir 40 darjah Celcius, dengan catatan masa 1:13.48s, manakala pingat gangsa milik pelumba Thailand Yonthanan Phonkla yang merekodkan 1:18.42s.
Dua lagi pelumba negara, Phi Kun Pan dan Natahsya Soon, masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan dan ke-10 selepas mencatat masa 1:24:37s dan 1:26:42s.
Pengurus pasukan skuad berbasikal bukit negara Mohd Saiful Abdul Jalil menyifatkan kejayaan Nur Assyira itu sebagai satu kejutan memandangkan pelumba dari Indonesia, Thailand dan Filipina membariskan pelumba yang cukup hebat.
"Memang Nur Assyira menang perak semasa di Hanoi tahun lepas, tetapi atas kertas pada perlumbaan di sini kita tidak meletakkan harapan tinggi dalam acara individu kerana pelumba dari negara lain menyenaraikan pelumba-pelumba yang cukup hebat.
"Namun kita bersyukur kerana dapat membawa pulang pingat perak. Sasaran kita adalah dalam acara cross country team relay (berganti-ganti berpasukan) bagi menyumbangkan pingat emas kepada negara esok (Ahad)," katanya.
Sebagai rekod, skuad berbasikal bukit negara mencipta pencapaian bersejarah pada edisi di Hanoi, apabila merangkul pingat emas pertama dalam acara cross country berpasukan (relay) sepanjang penganjuran acara berkenaan pada temasya Sukan SEA. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!