PM cabar pembangkang jumpa di Parlimen
BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pihak pembangkang supaya membawa usul tidak percaya di Parlimen pada sidang akan datang.
Anwar turut menegaskan bahawa beliau bukan Perdana Menteri seperti sebelum ini yang mengelak untuk berdepan dan berentap dalam soal siapa mempunyai keabsahan di Parlimen.
"Apabila ada pergelutan mengenai kestabilan dalam negara, saya ingin memberi peringatan secara tegas yang saya bukannya mantan PM yang mengelak berdepan dalam soal siapa mempunyai keabsahan, mantan PM dulu memilih untuk mengistiharkan darurat, menangguh sidang Parlimen. Dan PM sekarang dalam Kerajaan Perpaduan memilih untuk bertempur di Parlimen.
"Sekiranya mereka ada angka, jadi dengan kenyataan ini saya harap dimatikan segala kenyataan yang merosakkan dan mengganggu gugat kestabilan. Saya yakin angka yang ampuh bagi kita,kita masih pertahan 148.
"Oleh demikian, kalau mahu cabar, cabar di Parlimen yang akan datang pada hujung Mei," katanya ketika berucap di Rumah Terbuka Malaysia Madani Perdana Menteri 2023 di Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.
Majlis yang dihadiri kebanyakan pemimpin kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat itu berlangsung bermula jam 11 hingga 2 petang dan dihadiri kira-kira 20,000 orang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desas-desus yang semakin hangat diperkatakan di dalam media sosial ketika ini berhubung kemungkinan Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan hilang majoriti seterusnya ditumbangkan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, desas desus tersebut tidak menguntungkan tanpa bukti yang didedahkan di sidang Parlimen.
"Saya nak jelaskan ini untuk mematikan kerana desas-desus ini tidak menguntungkan kerana kalau benar ada angka, jangan mengingau, jangan mempersulitkan rakyat. Cari ahli Parlimen yang menyokong mereka, bawa usul dan saya tidak akan mengelak daripada membentangkan usul undi percaya atau tidak.
"Sekiranya ada, saya bukan jenis pimpinan yang kita ada dulu, yang memilih untuk lari daripada kenyataan. Seperti mana yang saya sebut dulu, kalau ada angka, bawa dan saya akan berdepan.
"Kita akan adakan sidang Parlimen dalam tempoh dua minggu lagi. Tetapi dengan syarat, biar ini yang terakhir supaya kita boleh tumpukan perhatian untuk membangunkan negara," katanya.
Kata Anwar lagi, Malaysia kini sedang menghasilkan hasil negara dengan menarik pelaburan dari China, India, Amerika Syarikat dan Australia.
"Pelaburan kita sedang mencanak naik kerana keyakinan pelabur terhadap Kerajaan Pelaburan dan kestabilan negara ini.
"Jangan sabotaj kalau kita ada beri ruang dan jangan cuba ganggu gugat tanpa tolak ansur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!