Parlimen buka pintu terima lawatan rakyat buat kali pertama
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Buat julung kali Parlimen Malaysia ‘membuka pintunya’ kepada orang ramai menerusi penganjuran Hari Terbuka Parlimen selama dua hari bagi memberi ruang mereka mengenali lebih dekat peranan institusi itu sebagai badan perundangan tertinggi negara serta sejarahnya.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kehadiran orang ramai seawal jam 9 pagi lagi pada penganjuran hari terbuka yang bertema ‘Merakyatkan Parlimen, Warisan Negara’ itu, menyerlahkan satu lunas iaitu legislatif negara disokong baik oleh rakyat.
"Gerbang bangunan ini membawa pengertian bahawa hak-hak yang wujud di Parlimen adalah hak rakyat," katanya pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Nor Yahati Awang.
Hadir sama ahli-ahli Parlimen, duta dan perwakilan asing.
Katanya, pelbagai acara diadakan sempena penganjuran rumah terbuka itu antaranya pameran negarawan serta pameran buku, persembahan kesenian dan kebudayaan, demonstrasi masakan makanan warisan dan jualan makanan, kraf tangan serta lukisan dan karikatur.
Sebanyak 48 pempamer daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kedutaan Austria dan kedutaan Palestin serta bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia mengambil bahagian.
Pada majlis tersebut, Rais turut melancarkan buku bertajuk Parliament of Malaysia: Pillar of the Nation’s Democracy yang dihasilkan oleh kerjasama pegawai penyelidik dan penterjemah Parlimen Malaysia.
Sementara itu, pekerja swasta, Shum Keng Yan, 52, amat teruja apabila berpeluang menjejakkan kaki di bangunan bersejarah yang menjadi simbol amalan demokrasi berparlimen di negara ini.
"Sudah 30 tahun saya menyimpan impian untuk menjejakkan kaki di Parlimen, akhirnya dapat juga.
"Sebelum ini saya cuma baca buku dan tengok di televisyen, tetapi kali ini dapat melihat tempat ini dan memang puas hati. Saya berkesempatan melawat Dewan Negara dan Dewan Rakyat,” katanya.
Pelajar Kolej Tingkatan Enam Desa Mahkota di sini, Ahmad Aliff Sofi Ahmat, 19, berkata menerusi penganjuran hari terbuka itu, pelajar sepertinya dapat mengenali badan legislatif Malaysia dengan lebih mendalam khususnya tentang matlamat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Saya dapat melihat lebih dekat proses pentadbiran negara serta apa yang wakil rakyat kita buat di Parlimen ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!