Proklamasi Melayu: Bukan pancing undi Melayu menjelang PRN

Tuan Ibrahim (tengah) pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah.
Tuan Ibrahim (tengah) pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Proklamasi Melayu yang ditandatangani menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan bertujuan memancing undi Melayu untuk memilih Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia juga bukan bermatlamat atau menjurus kepada komplot bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada.

Menurutnya, rancangan untuk melancarkan Proklamasi Melayu sudah dirangka sejak awal tahun dan dijangka dilancarkan pada Mac lalu, namun berdepan kekangan apabila terdapat cubaan untuk menghalang pelaksanaannya.

“Kita rangka lebih awal sebelum ada apa-apa berita akan berlaku PRN lagi. Sepatutnya dilancar pada Mac, oleh itu ia tidak ada kaitan dengan PRN.

“Oleh kerana ketika itu semua premis yang dimohon dibatalkan di saat akhir sebanyak empat kali, ia menimbulkan keadaan untuk kita putuskan operasi gagasan ini dilakukan melalui pertubuhan atau individu yang menandatangani dan menyokong proklamasi tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau serta Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hadir berikutan kedua-dua pemimpin berkenaan dilaporkan kurang sihat.

Tuan Ibrahim menjelaskan, Proklamasi Melayu juga tidak melibatkan isu parti politik sebaliknya di luar daripada kerangka politik.

Mengulas mengenai usaha pihak tertentu yang cuba menghalang daripada proklamasi dilancarkan, beliau jelaskan disebabkan itu ia diadakan dalam bentuk petisyen dan dipromosi menerusi laman sosial.

“Dewan yang ditempah untuk adakan pertemuan dibatalkan empat kali terpaksa ubah tempat namun masih dibatalkan. Akhirnya kita terpaksa buat dalam bentuk petisyen,” katanya.

Tuan Ibrahim juga menolak dakwaan yang mengaitkan kerjasama bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam proklamasi tersebut ada kaitan dengan pembekuan akaun Bersatu.

“Tak ada kena mengena dengan pembekuan akaun Bersatu. Kita terbuka menerima semua pihak yang mahu bersama dengan Perikatan Nasional,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!