Perak tawar Wisma Wan Mohamed kepada Universiti Tsukuba
TAPAH - Kerajaan Perak menawarkan Bangunan Wisma Wan Mohamed di Ipoh sebagai lokasi cawangan Universiti Tsukuba, Jepun pertama di negara ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bangunan tersebut pada asalnya dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sebelum dijual kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).
Menurutnya, perbincangan sudah diadakan dengan PPPNP untuk menempatkan universiti tersebut memandangkan mereka tidak akan menggunakan bangunan tersebut tetapi terdapat pula cadangan lain untuk memindahkan operasi Yayasan Perak di sana.
"Jadi, dengan satu kerja ubah suai begitu besar dibuat pentadbiran sebelum ini membelanjakan lebih RM20 juta untuk ubah suai dalaman bangunan tersebut, maka saya rasa ia adalah satu kerugian sangat besar dan PPPNP serta Yayasan Perak tidak memerlukan bangunan yang sangat cantik.
"Jadi saya fikir lebih baik kita sewakan kepada pihak Universiti Tsukuba dan tempat yang elok itu boleh kita gunakan untuk anak-anak kita. Itu saya fikir jangka masa yang panjang baik untuk negeri kita," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyampaian Kad Perak Prihatin Peringkat Daerah Batang Padang di Dewan Merdeka Tapah di sini, hari ini.
Ahmad Faizal berkata, delegasi universiti berkenaan datang melawat di beberapa lokasi di seluruh negara termasuk di Johor, Kedah dan beberapa tempat lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Universiti Tsukuba tinjau potensi di Perak
"Usaha untuk melobi agar mereka memilih negeri Perak akan terus dijalankan dan saya katakan bahawa jangan melihat bandar raya Ipoh ini sebagai satu bandar raya asing kerana Ipoh adalah bandar raya berkembar dengan Fukuoka.
"Jadi kalau rakyat di Jepun melihat rakyat di Ipoh atau Perak, dia tidak boleh tengok sebagai bandar di dalam Malaysia tetapi melihatnya sebagai sebahagian Fukuoka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!