Kempen UMNO Sayangi DAP satu fitnah: Ahmad Zahid
LENGGONG - UMNO menyifatkan penyebaran poster bertajuk Kempen UMNO Sayangi DAP yang tersebar di media sosial merupakan fitnah terbaharu dibuat pihak tertentu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak pernah membuat kempen seumpama itu.
"Siapa yang pandai buat fitnah itu, siapa buat kerja yang tak tentu hala itu sempena dengan bulan Syawal ini, bertaubat. Cepatlah mohon maaf.
"Kerja-kerja fitnah ini hentikanlah sebab sekarang ini orang boleh baca siapa buat fitnah atau cerita fitnah, siapa yang buat cerita yang betul itulah taktik yang diamalkan pembangkang dari dulu sehingga sekarang," katanya kepada pemberita ketika hadir ke majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pimpinan UMNO pusat serta negeri.
Dalam poster yang tersebar itu, dinyatakan kononnya Ahmad Zahid bakal melancarkan Kempen Sayangi DAP bagi yakinkan akar umbi UMNO bahawa DAP bukanlah seburuk yang digambarkan.
Turut dinyatakan kempen itu juga bertujuan untuk hapuskan doktrin Tun Dr Mahathir Mohamad berdekad lama supaya ahli UMNO membenci DAP selain akan menghapuskan tanggapan bahawa DAP anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja-Raja Melayu.
Sementara itu, ditanya mengenai keputusan rayuan penggantungan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Zahid berkata, perkara itu terserah kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Menurutnya, bukan sahaja Tajuddin, sesiapa sahaja ahli yang dikenakan tindakan disiplin boleh membuat rayuan tetapi keputusan akan dibincang di dalam mesyuarat MKT.
Pada 28 April lalu, Tajuddin yang merupakan bekas MKT UMNO memaklumkan kepada media bahawa beliau sudah mengemukakan rayuan terhadap penggantungan keahliannya selama enam tahun dan mahu kembali aktif dalam parti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!