Tryouts MYPW mahu lahir lebih ramai Emman
KEJAYAAN pengusti muda negara, Emman Azman merangkul kejuaraan Intercommonwealth Melbourne City Wrestling (MCW) tahun lalu, mendorong Malaysia Pro Wrestling (MYPW) lebih proaktif menyemarakkan pembangunan bakat sukan lasak tersebut di negara ini.
Malah MYPW percaya kejayaan atlet berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur yang mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia secara tidak langsung memberi petanda positif penerima generasi muda terhadap sukan berkenaan.
"Sebenarnya kejayaan Emman Azman yang lebih dikenali sebagai Golden Boy, merangkul tali pinggang MCW membuktikan anak Malaysia mampu berdaya saing dalam sukan ini.
"Lebih manis pencapaian Emman tidak hanya terhenti di situ apabila berjaya menarik perhatian syarikat gusti kedua terbesar dunia, New Japan Pro Wrestling (NJPW) untuk beraksi di pentas gusti tersebut baru-baru ini," kata MYPW pada Sabtu.
Tambah MYPW lagi, jejak langkah Emman itu kemudian diikuti Miles Karu berusia 20 tahun dari Kuala Lumpur apabila mencipta merangkul tali pinggang MYPW National Wrestlecon dalam Kejohanan Gusti New Breed, Februari lalu.
"Kejayaan Miles Karu membolehkannya menyertai Kejohanan SETUPTH bagi mempertahankan tali pinggang kejuaraan di Thailand, pada 22 Julai depan.
"Melihat potensi gusti profesional ini, MYPW yakin dapat menggilap bakat pelapis melalui silibus latihan terkini, selain dapat memupuk disiplin dan jati diri ke arah gaya hidup sihat.
"Bagi tujuan itu MYPW giat mencari bakat baharu dalam kalangan anak muda yang berusia 18 tahun ke atas untuk diketengahkan sebagai pelapis dalam industri sukan gusti profesional negara," katanya.
Sehubungan itu, mereka yang berminat mendalami profesion lasak boleh menghadiri Tryouts MYPW di Stadium Mini Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur jam 10 pagi pada 20 Mei lalu.
Selain itu, mereka yang mahu mengetahui maklumat lanjut boleh melayari Facebook Malaysia Pro Wrestling.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!