Jelajah Ikon Madani bukan untuk berpolitik - Mohammad Agus
REMBAU - Jelajah Ikon Madani anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di enam universiti bukan medan berpolitik tetapi medium untuk menjelaskan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Malaysia Madani kepada mahasiswa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, J-KOM dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) berperanan menjelaskan serta mempertahankan dasar kerajaan, selain menghubungkan kerajaan dengan mahasiswa dan rakyat.
"J-KOM masuk ke universiti bukan untuk berpolitik, kami datang ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau mana-mana universti lain selepas ini adalah untuk menjelaskan dasar kerajaan, Malaysia Madani, bukan berkempen atau menyokong mana-mana parti, J-KOM tahu batas yang boleh dimainkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Ikon Madani di Kampus UiTM Rembau, di sinipada Sabtu.
Program itu menampilkan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi sebagai Ikon Madani dan juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Ghazali.
Mohammad Agus turut menyerahkan sumbangan termasuk bantuan tunai dan keperluan asas, selain pemberian cermin mata percuma kepada 1,500 pelajar.
Katanya, siri jelajah selepas ini akan ke universiti di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta turut merancang ke Sabah dan Sarawak.
Antara tokoh lain yang akan ditampilkan termasuk pakar kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; tokoh pendidikan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi Malaysia Airlines Berhad, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei.
Sementara itu, Aznil berkata, menerusi jelajah itu beliau dapat berkongsi pengalaman dalam industri media dan hiburan, selain berharap generasi muda lebih berkeyakinan serta bertamadun dalam menempuh kehidupan.
"Sebentar tadi saya juga berkongsi dengan anak-anak ini, kalau kita datang dari keluarga miskin, seperti saya dari keluarga miskin bandar, bukan bermakna kita akan berada di takuk itu selamanya, kita boleh mempertingkatkan mutu kehidupan dan keluarga. Keyakinan diri juga memainkan peranan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!