Tuntutan RM300 bilion: Waris dalam proses siapkan sijil faraid
JOHOR BAHRU - Waris Datuk Bentara Luar Johor, Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang kini dalam proses menyiapkan sijil faraid untuk tuntutan pembahagian harta pusaka keluarga mereka sebelum diserahkan kepada Mahkamah Syariah di sini.
Wakil waris pentadbir harta keluarga berkenaan, Mohd Zaini Aris, 55, berkata, peguam yang mewakili keluarga mereka sedang menguruskan proses tersebut yang dijangka selesai pada hujung ini atau tahun depan.
"Kita harap pihak kerajaan Johor dan jabatan serta agensi yang terlibat akan permudahkan semua urusan berkaitan.
"Semuanya dibuat mengikut lunas undang-undang oleh waris yang berhak dan layak untuk mendapat bahagian masing-masing.
"Semua tuntutan tersebut mempunyai dokumen sah seperti geran tanah untuk membuktikan Allahyarham mempunyai harta dan aset di seluruh negeri," katanya yang merupakan generasi keenam Allahyarham Mohammed Salleh.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Keluarga Almarhum Dato Bentara Luar 2023 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Joseph, Larkin di sini pada Sabtu.
Pada Disember 2021, waris Allahyarham memfailkan notis permohonan untuk mendapatkan satu perintah faraid bagi harta pusaka mereka di Mahkamah Syariah di sini.
Seramai 11 pemohon yang merupakan wakil kepada ahli keluarga Datuk Bentara Luar Johor itu menandatangani afidavit untuk permohonan tersebut, pada masa sama empat dilantik sebagai waris pentadbir harta keluarga itu termasuk Mohd Zaini.
Menurut wikipedia, Mohammed Salleh adalah birokrat Johor yang memegang pelbagai jawatan penting dari tahun 1856 sehingga 1912 dalam pentadbiran kerajaan Johor bermula sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri, ahli Dewan Negeri dan berakhir sebagai ahli jemaah menteri.
Mengulas lanjut, Mohd Zaini berkata, waris Allahyarham ketika ini sudah menjangkau sembilan generasi melibatkan seramai lebih 4,000 orang dengan daftar kematian melibatkan waris yang direkodkan adalah seramai 462 orang.
Seorang lagi wakil waris pentadbir harta keluarga berkenaan, Mohd Salleh Abd Rahman, 69, berkata, proses tuntutan keluarga mereka terutama daripada kerajaan negeri merupakan satu perjuangan untuk mendapatkan kembali hak waris yang masih hidup.
Beliau yang merupakan generasi keempat berkata, waris pertama sehingga ketiga tidak membuat tuntutan kerana mereka hanya mendengar berkenaan harta Allahyarham Mohammed Salleh secara lisan.
"Kami dimaklumkan semua geran dan dokumen disimpan kerajaan negeri di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor Bahru sejak 1921. Pada masa sama Mohd Zaini yang bekerja di pejabat ukur sudah melakukan kajian dan mencari bukti sejak 30 tahun lalu.
"Pada 2014 selepas mendapat semua bukti-bukti sahih barulah kita mulakan tuntutan ini. Kami faham ini akan mengambil masa tetapi apa yang kami lakukan, jika kami tidak sempat mendapatnya, ini adalah untuk anak dan cucu kami," katanya.
Sementara itu, difahamkan hampir 600 ahli keluarga melibatkan sembilan generasi hadir dari seluruh negara antaranya dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka manakala selebihnya dari seluruh Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!