1,000 mangsa sindiket pemerdagangan manusia diselamatkan

Jabatan Anti -Jenayah Siber Polis Negara Filipina melakukan proses dokumentasi mangsa pemerdagangan di Mabalacat City, Manila. - AFP
Jabatan Anti -Jenayah Siber Polis Negara Filipina melakukan proses dokumentasi mangsa pemerdagangan di Mabalacat City, Manila. - AFP
A
A
A

MANILA - Pihak berkuasa Filipina menyelamatkan 1,000 orang dari beberapa negara Asia yang ditahan sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan penipuan dalam talian di negara itu.

Jurucakap Jabatan Anti-Jenayah Siber Polis Negara Filipina, Michelle Sabino berkata, pegawainya menyerbu bangunan Khamis di bandar Mabalacat, kira-kira 90 kilometer di utara Manila.

Katanya, sejumlah 1,090 orang berjaya diselamatkan selepas dipaksa untuk menjalankan penipuan dalam talian.

Tambahnya, mangsa dipaksa menyasarkan warganegara Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada.

Selain itu, pasport mereka dirampas dan dipaksa bekerja 18 jam sehari dengan pemotongan gaji jika berinteraksi dengan rakan sekerja atau cuti panjang.

"Anda seperti banduan tanpa sel. Anda tidak dibenarkan bercakap dengan rakan sebilik anda," kata Sabino kepada AFP.

Mangsa adalah warga negara China, Vietnam, Filipina dan Indonesia dan pihak berkuasa turut menyelamatkan individu dari Malaysia, Thailand, Taiwan, Myanmar, Hong Kong dan Nepal.

Sabino berkata, sekurang-kurangnya 12 orang disyaki ketua kumpulan itu telah ditangkap dan akan didakwa atas tuduhan pemerdagangan manusia.

Mereka termasuk tujuh warga China, empat Indonesia dan seorang dari Malaysia.

Operasi polis itu adalah hasil rayuan oleh Duta Indonesia di Manila untuk mendapatkan bantuan mencari warganegara yang berdepan masalah. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!