Harapan Adam genggam emas berkecai

Atlet jujitsu negara, Adam Akasyah gagal melengkapkan set pingatnya kerana hanya mampu meraih gangsa dalam acara NE-Waza-Gi lelaki bawah 69 kilogram (kg) pada Sukan SEA 2023, di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
Atlet jujitsu negara, Adam Akasyah gagal melengkapkan set pingatnya kerana hanya mampu meraih gangsa dalam acara NE-Waza-Gi lelaki bawah 69 kilogram (kg) pada Sukan SEA 2023, di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET jujitsu negara, Adam Akasyah gagal melengkapkan set pingatnya kerana hanya mampu meraih gangsa dalam acara NE-Waza-Gi lelaki bawah 69 kilogram (kg) pada Sukan SEA 2023, di sini pada Sabtu.

Adam yang memenangi pingat perak di Hanoi 2021, menewaskan atlet Filipina, Michael Bryan Tiu, 4-2, untuk merangkul gangsa di sini, sekali gus mengulangi pencapaian di Manila 2019 yang juga penampilan sulungnya pada temasya dwitahunan itu.

Walaupun sekadar gangsa, Adam mengakui beliau tidak terlalu kecewa dengan kegagalannya mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi emas jujitsu dalam Sukan SEA.

"Saya bersyukur kerana telah banyak melakukan penambahbaikan dan melakukan yang lebih baik (berbanding dua Sukan SEA sebelum ini).

"Saya boleh katakan rentak saya bertambah baik dan berjaya melepaskan diri daripada kedudukan ‘buruk’ yang sering menjejaskan saya sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat di Chroy Changvar Convention Centre, di sini.

Terdahulu, Adam tewas kepada musuh ketatnya merangkap juara bertahan, Noah Lim dari Singapura, 0-4 pada separuh akhir.

Mengulas mengenai pertarungannya menentang atlet Singapura itu, penuntut jurusan Sains Sukan dari Universiti Malaya berkenaan berkata kesilapan yang dilakukannya di peringkat awal telah membawa padah.

"Saya terlepas cengkaman di awal permainan dan ia mengundang padah kepada saya,” katanya.

Noah sebaliknya terus melakar kejayaan, memenangi emas kedua berturut-turut selepas merangkul emas pertama di Hanoi 2021 dengan menewaskan Jedidiah Phomsavath Slayman dari Laos, 5-0. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!