Salah intai status penjaring sepanjang zaman Mesir

Salah
Salah
A
A
A

PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah akan menjadi penjaring sepanjang zaman Mesir jika beliau menjaringkan gol menentang Brentford dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield, pada awal pagi Ahad.

Sebagai rekod, Salah telah menjaringkan 313 gol sepanjang kerjaya bola sepak untuk kelab dan negara, menyamai rekod bekas kapten Mesir, Hossam Hassan dengan sepakan penalti minit ke-39, ketika The Reds menang tipis 1-0 ke atas Fulham pada Khamis.

Salah telah menjaringkan 185 gol untuk Liverpool sejak menyertai kelab Merseyside pada 2017 dan akan menyamai bekas kapten Steven Gerrard, penjaring kelima terbanyak dalam sejarah Liverpool, dengan satu lagi gol.

Legenda Liverpool, Ian Rush masih mengetuai senarai sepanjang zaman The Reds dengan 346 gol.

Kapten Mesir berusia 30 tahun, adalah penjaring rekod Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris dengan 136 gol.

Gol kelab Salah yang lain adalah di AS Roma (34), Fiorentina (9), Chelsea (2), Basel (20) ditambah 12 untuk kelab zaman kanak-kanaknya Al-Mokawloon Al-Arab.

Salah sepanjang menyarung jersi Mesir telah merekodkan 51 gol bersama angkatan The Pharaohs.

Liverpool kini berada kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris dengan 59 mata, empat di belakang pasukan di tangga keempat Manchester United yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan dalam perlumbaan slot Liga Juara-Juara musim depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!