Video rompakan di Brazil, bukan di Segambut - Polis

Tular kejadian memaparkan seorang lelaki dirompak serta dicederakan di sebuah stesen kereta api pada Sabtu.
Tular kejadian memaparkan seorang lelaki dirompak serta dicederakan di sebuah stesen kereta api pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menafikan video tular mengenai kejadian rompakan yang didakwa kononnya berlaku di sebuah stesen kereta api di Segambut di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah mengesan video berdurasi 41 saat yang memaparkan seorang lelaki yang dirompak serta dicederakan sekumpulan individu.

"Video rompakan tersebut ditularkan dengan mesej "Segambut Public transport at night', yang mana kejadian tersebut diandaikan telah berlaku di Segambut, Kuala Lumpur.

"Polis menafikan bahawa kejadian tersebut berlaku di Segambut seperti yang didakwa," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, hasil semakan mendapati video berkenaan adalah insiden yang berlaku di Brazil pada April lalu.

"Video insiden berkenaan didapati telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan dakwaan ia berlaku di Kuala Lumpur.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya," katanya.

Menurutnya, orang ramai turut diminta tidak menyebar mahupun berkongsi lanjut berkaitan kejadian tersebut untuk mengelakkan kegusaran dan keresahan masyarakat.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang di dalam negara ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222," katanya.

Pada Sabtu, tular kejadian memaparkan seorang lelaki dirompak serta dicederakan di sebuah stesen kereta api.

Kejadian tersebut bagaimanapun didakwa berlaku di sebuah stesen kereta api di Segambut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!