Gol saat akhir Filipina 'hantar' Malayan Tigress pulang awal

Malaysia tewas 0-1 kepada Filipina pada aksi kedua Kumpulan A saingan Sukan SEA 2023 malam Sabtu. - Foto FAM
Malaysia tewas 0-1 kepada Filipina pada aksi kedua Kumpulan A saingan Sukan SEA 2023 malam Sabtu. - Foto FAM
A
A
A

GOL pada penghujung babak permainan memusnahkan impian Malaysia untuk mencipta kejutan ke atas pasukan yang beraksi di Piala Dunia, Filipina, selepas tewas 0-1 pada aksi kedua Kumpulan A saingan Sukan SEA 2023 malam Sabtu.

Kekalahan di Stadium Army di sini, menyaksikan perjalanan skuad Malayan Tigress bimbingan Soleen Al-Zoubi dalam kempen temasya sukan dwitahunan itu hampir pasti berakhir, setelah gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan pertama.

Sarina Isabel Calpo Bolden muncul wira Filipina apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan separuh masa kedua, sekali gus memberikan kemenangan sulung kepada pasukan itu dalam usaha memburu tempat ke separuh akhir.

Jaringan itu berpunca daripada sepakan penjuru pada minit-minit akhir dengan Sarina melompat tinggi untuk menanduk masuk bola ke gawang, menewaskan penjaga gol Nur Ezza Ashikin Abdul Razak yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Terdahulu, Filipina yang akan beraksi di Piala Dunia 2023 bermula Julai depan buntu untuk menghasilkan gol apabila anak buah Soleen menunjukkan disiplin yang baik dalam mengekang asakan bertali arus ke kubu pertahanan negara.

Sebelum ini, Malaysia tewas 0-3 kepada juara bertahan Vietnam - yang juga bakal beraksi di Piala Dunia 2023 - pada perlawanan pembukaan kumpulan di venue sama, Rabu lepas.

Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Myanmar, Selasa depan.

Selepas dua perlawanan, Vietnam kini menerajui saingan Kumpulan A dengan mengumpul enam mata diikuti Filipina (tiga mata), Myanmar (tiga mata) dan Malaysia di kedudukan terakhir tanpa mata.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad wanita kebangsaan meraih pingat di temasya sukan dwitahunan itu adalah pada edisi 1995 di Thailand selepas merangkul perak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!