Sensasi Salah di Anfield

Salah (tengah) meledak gol tunggal ketika membantu Liverpool menewaskan Brentford 1-0 awal pagi Ahad. - Foto EPA
Salah (tengah) meledak gol tunggal ketika membantu Liverpool menewaskan Brentford 1-0 awal pagi Ahad. - Foto EPA
A
A
A

PEMAIN sensasi, Mohamed Salah berada dalam kelas tersendiri apabila meledak gol ke-100 ketika membantu Liverpool menewaskan Brentford 1-0 di Anfield awal pagi Ahad.

Kejayaan bersejarah pemain Mesir itu mendapat pujian jurulatihnya, Jurgen Klopp yang menganggap dia sebagai pemain hebat sepanjang zaman.

"Ramai pemain kurang menghargai seseorang ketika mereka masih bermain. Namun bagi kami, dia (Salah) seorang yang hebat sepanjang zaman," katanya.

Kejayaan itu membolehkan Salah membantu The Reds untuk memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Salah menyudahkan peluang jarak dekat pada minit ke-13 untuk meraih jaringan kesembilan berturut-turut di laman sendiri, sekali gus membolehkannya mengumpul 30 gol musim ini.

Ia juga adalah jaringan ke-100 Salah di stadium ikonik Liverpool itu sejak menyertai kelab tersebut dari AS Roma pada 2017.

"Sebagai pemain depan, anda harus mempunyai keinginan untuk meledak gol, namun ramai yang terlupa berapa jaringan yang berjaya dihasilkan.

"Dia (Salah) sangat kerap terbabit dengan jaringan," ujar Klopp.

Liverpool menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) dan masih mempunyai peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun The Reds perlu terus menang sambil mengharapkan pasukan dalam kelompok empat terbaik tergelincir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!