Rodrygo wira Real Madrid julang trofi Copa del Rey
PEMAIN sensasi, Rodrygo muncul wira apabila meledak dua gol ketika membantu Real Madrid merangkul trofi Copa del Rey selepas menewaskan Osasuna 2-1di Seville awal pagi Ahad.
Rakan senegaranya dari Brazil, Vinicius Junior menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan apabila memainkan peranan penting untuk kedua-dua gol tersebut.
Kemenangan itu menamatkan penantian sembilan tahun skuad bimbingan Carlo Ancelotti untuk menjulang trofi itu.
Real meraih Piala Sepanyol buat kali ke-20 di La Cartuja dalam penampilan ke-40 mereka di final.
"Mereka (Rodrygo dan Vini) memainkan peranan berbeza. Mengucar-kacirkan kubu lawan.
"Vini merobek pertahanan. Rodrygo pula menyumbat dua gol," ujar Ancelotti.
Osasuna yang tidak pernah memenangi sebagai trofi utama berjaya memberi tentangan, namun gagal menyaingi juara bertahan Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara itu.
Real sekarang ini meraih enam trofi ketika di bawah penampilan kedua Ancelotti, selepas pengendali kelahiran Itali itu kembali pada 2021.
Pada aksi itu, Rodrygo meletakkan Real di depan seawal minit kedua selepas Vini melakukan larian di sebelah kiri.
Bagaimanapun, Lucas Torro berjaya menyamakan kedudukan buat Osasuna pada minit ke-58 bagi menghidupkan peluang mereka untuk melakar kejutan dalam final pertama sejak 2005.
Rodrygo mengesahkan kemenangan Real selepas menyudahkan bola yang melantun ke kakinya juga berpunca daripada gerakan Vinicius.
Real menewaskan Atletico Madrid dan kemudian menyingkirkan Barcelona untuk mara ke final.
Ancelotti enggan meraikan kejayaan itu secara keterlaluan kerana Real bakal berdepan misi lebih besar menentang Manchester City dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara pada 10 Mei.
"Sudah tiba masa untuk meraikannya, tetapi tidak keterlaluan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!