Pemimpin PH jangan ikut telunjuk golongan elit bandar

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin dalam kerajaan PH diminta tidak tunduk dan terlalu mengikut telunjuk golongan elit bandar yang digelar sebagai busa Bangsar.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau bersetuju dengan kebimbangan sama yang dibangkitkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai golongan itu.

"Pada Julai 2018 iaitu beberapa bulan setelah PH memenangi PRU14, saya menyatakan kebimbangan kerana agenda reformasi kelihatan terlalu banyak dipacu oleh mereka yang berada dalam keselesaan.

"Saya gelarkan mereka itu sebagai golongan yang berada dalam 'Bangsar Bubble' (busa Bangsar) sebagai perumpaan kehidupan mereka yang lebih senang berbanding majoriti rakyat Malaysia. Mereka itulah juga kelompok yang saya katakan sebagai kelompok yang hidup dalam busa Bangsar.

"Mereka memfokuskan hampir semua tuntutan reformasi kepada reformasi institusi. Mereka bercakap mengenai hak asasi manusia, kebebasan kehakiman, kebebasan media, statut-statut antarabangsa dan reformasi syarikat berkaitan kerajaan," katanya menerusi satu ulasan yang disiarkan di portal Malaysiakini.

Wan Saiful berkata, berbeza dengan pemimpin parti peringkat akar umbi yang berdepan dengan rakyat yang mengeluh mengenai kos sara hidup, jurang kemiskinan, harga getah, padi dan kelapa sawit setiap hari.

"Ringkasnya, golongan busa Bangsar yang hidup senang dan lantang membuat tuntutan, tetapi hidup mereka terpisah daripada warga kampung di Arau dan Pendang yang hidup susah dan tiada suara.

"Padahal majoriti besar rakyat Malaysia sebenarnya hidup di luar lingkaran busa Bangsar itu. Pendapat serta sokongan merekalah yang menentukan populariti kerajaan PH hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyeru rakan-rakan yang menjadi pemimpin kerajaan agar kembali memberi fokus kepada keperluan asasi rakyat biasa," ujar beliau.

Katanya, rakyat biasa yang mengundi perubahan perlu dibantu termasuk kontraktor kecil dan usahawan desa yang mendukung perubahan perlu disokong serta aktivis reformasi yang berhempas pulas membawa perubahan perlu dijaga kebajikannya.

"Benar, reformasi institusi itu penting dan masa yang lebih panjang diperlukan untuk rakyat menikmati kemanisan hasil daripada reformasi institusi, tetapi keutamaan kita mestilah betul. Kebajikan dan kesusahan rakyat harus menjadi keutamaan pertama kita.

"Jika penumpuan terlalu banyak kepada reformasi institusi sehingga nasib rakyat marhaen hari ini kita terlepas pandang, itu tandanya kita terlalu terpengaruh dengan pemikiran dari kelompok busa Bangsar," katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut menyeru golongan dalam kelompok elit bandar agar bersama-sama menyertai mereka yang bergerak di peringkat akar umbi.

"Masih ramai rakyat yang perlukan pelbagai bentuk bantuan. Jika kita biasakan diri turun ke peringkat akar umbi, baharulah kita sedar betapa besarnya jurang ketidaksamarataan dalam negara kita.

"Dan selepas itu Insya-ALLAH kita akan dapat sama-sama menyusun keutamaan yang selaras dengan keutamaan rakyat," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!