Kuartet larian berhalangan lelaki kempunan emas

Atlet lari berhalangan negara (dari kiri) Mohd Redha, Ghalib, Nuur Hafis dan Wei Theng dalam acara berkumpulan Obstacle Race sempena Sukan SEA 2023 di Chroy Changvar Convention Center pada Ahad. - Foto Bernama
Atlet lari berhalangan negara (dari kiri) Mohd Redha, Ghalib, Nuur Hafis dan Wei Theng dalam acara berkumpulan Obstacle Race sempena Sukan SEA 2023 di Chroy Changvar Convention Center pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

IMPIAN kuartet larian berhalangan lelaki negara untuk mencipta sejarah meraih pingat emas tidak kesampaian selepas tewas kepada Filipina pada acara final lari berganti-ganti berpasukan di Pusat Konvensyen Chroy Changvar di sini, pagi ini.

Kuartet dibarisi Ghalib Mohamad Azimi, Mohd Redha Rozlan, Nuur Hafis Said Alwi dan Yoong Wei Theng terpaksa berpuas hati membawa pulang perak dengan catatan masa 25.15 saat (s).

Filipina yang memintas Malaysia pada saat-saat akhir dalam saingan itu merakam masa 24.47s sementara Indonesia dan Laos berkongsi gangsa selepas masing-masing merekodkan kepantasan 31.27s dan 34.11s dalam satu lagi aksi.

Biarpun keputusan tidak memihak Malaysia, Mohd Redha selaku ketua pasukan berkata, mereka telah memberikan yang terbaik selepas turut berkorban masa dan tenaga dalam usaha melakar sejarah merangkul emas.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan, kami telah bekerja keras dengan korbankan waktu berpuasa bersama keluarga apabila berlatih selama tiga minggu di Manila kemudian datang kira-kira seminggu awal ke sini, raya pun ala kadar saja.

"Untuk larian hari ini saya gembira kerana kita telah berikan segalanya, tetapi tetap ada sedikit masalah, namun ia tetap ok, mungkin pada Sukan SEA lain, kita akan perbaiki prestasi untuk dapatkan emas,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas aksi final di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Redha berkata, pasukan mengharapkan sokongan daripada pihak luar untuk menyediakan set berhalangan pertandingan yang lengkap bagi tujuan latihan supaya mampu meningkatkan prestasi pada masa hadapan.

Beliau optimis Malaysia mampu merangkul emas pertama dalam sukan itu pada edisi Sukan SEA seterusnya sekiranya mendapat bantuan dalam masa terdekat.

"Setakat ini kita kekurangan kemudahan latihan, kita hanya berlatih di gim di mana 60 per cent simulasi sama macam di sini. Jadi kita harapkan ada mana-mana pihak ataupun KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sendiri bantu sediakan set berhalangan yang sama macam mana Filipina ada,” kata atlet berusia 35 tahun itu.

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan ketiga Mohd Redha di Sukan SEA selepas merangkul perak acara mendaki tembok tiruan pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia sebelum memenangi tiga perak dalam larian berhalangan di Manila, Filipina pada 2019.

Sementara itu, dalam saingan wanita, Malaysia meraih gangsa bersama dengan Kemboja manakala emas milik Filipina dan perak diraih Indonesia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!