Sultan Selangor titah jemaah haji kekalkan disiplin

Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto Bernama
Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bakal jemaah haji Malaysia terutama dari Selangor diingatkan supaya mengekalkan disiplin dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda turut menasihatkan bakal jemaah haji supaya berbincang secara baik dengan pegawai Tabung Haji (TH) sekiranya ada sebarang kekurangan atau permasalahan.

"Jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media-media sosial kerana ia hanya merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah.

"Beta mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas kesungguhan dalam memastikan kebajikan jemaah haji Negara sentiasa terpelihara," titahnya pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor anjuran TH dan Jabatan Agama Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada Ahad.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sementara itu, Sultan Selangor turut memohon doa daripada rakyat agar baginda dan Tengku Permaisuri Selangor diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan fardu haji dengan sempurna serta mendapat pahala haji yang mabrur.

"Insya-Allah, beta juga akan menunaikan fardu haji tahun ini walaupun telah menunaikan fardu haji pada tahun 2002 lepas. Pada kali ini, beta akan membawa bersama Tengku Permaisuri Selangor untuk menunaikan haji," titah baginda.

Seramai 6,000 bakal jemaah haji dari Selangor mengikuti kursus perdana haji tahun ini yang dianjurkan TH dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah haji sebelum bertolak ke Tanah Suci. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!